AM

ORANG ASLI TERIMA DIPLOMA DALAM BIDANG KEJURUTERAAN AWAM

20/08/2024 09:16 PM

KOTA BHARU, 20 Ogos (Bernama) -- Seorang graduan perempuan Orang Asli dari Suku Temiar Siti Suwani Jali berjaya memperoleh Diploma Kejuruteraan Awam pada Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu, hari ini.

Siti Suwani, 24, berkata sebelum berjaya menamatkan pengajiannya, beliau hampir berhenti melanjutkan pelajaran di pusat pengajian itu, berikutan kerap kali terpaksa mengulang subjek.

“Semasa semester satu lagi saya mahu berhenti, kerana banyak subjek sukar untuk dipelajari, malah setiap kali saya tempuh cabaran mengulang subjek, setiap kali saya rasa mahu menyerah kalah dan berhenti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-37 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu, di sini, hari ini.

Graduan dari Pos Pulat, Gua Musang itu berkata kejayaan itu dapat beliau capai, kerana ibunya yang menjadi pembakar semangat untuk beliau meneruskan pengajian.

Siti Suwani yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu berkata ibunya sentiasa meletakkan harapan tinggi untuk beliau menamatkan pengajiannya.

“Saya teruskan belajar dengan bantuan pensyarah dan rakan-rakan lain, yang sentiasa memberi sokongan dan tunjuk ajar sehingga berjaya menamatkan pengajian ini,” katanya yang menerima biasiswa Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Siti Suwani berkata beliau mengambil bidang berkenaan, kerana tidak ramai daripada kaumnya yang mengambil kejuruteraan awam untuk menyambung pengajian mereka.

“Kebiasaannya kaum kami (Orang Asli) melanjutkan pengajian dalam pendidikan, jadi saya mahu memartabatkan Orang Asli terutama wanita untuk rajin belajar, sekali gus mampu bersaing dengan kaum lain di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Kota Bharu Mohd Fikri Ismail berkata Siti Suwani antara graduan Orang Asli yang menerima diploma mereka hari ini.

Beliau berkata Siti Suwani mengikuti latihan industri di Majlis Daerah Gua Musang dan mendapat keputusan cemerlang.

“Kita sentiasa memberi dorangan kepada pelajar tanpa mengira kaum, malah dengan kejayaan Siti Suwani ini, kita harap ramai lagi Orang Asli terinspirasi untuk menyambung pengajian di sini dalam bidang kemahiran,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan