AM

BELANJAWAN 2025: KPKT KEMUKA 33 CADANGAN BERIMPAK TINGGI

21/08/2024 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengemukakan 33 cadangan kepada Kementerian Kewangan melibatkan peruntukan bernilai hampir RM1 bilion bagi Belanjawan 2025.

Menteri berkaitan Nga Kor Ming berkata cadangan itu termasuk pembangunan 100 Taman Rekreasi MADANI, Deposit MADANI, transformasi kolam takungan, perjanjian jual beli elektronik dan e-stamping atau tekan tera elektronik untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, selari transformasi digital dan aspirasi Malaysia MADANI.

"KPKT menyasarkan untuk membangunkan 100 Taman Rekreasi MADANI yang dilengkapi alat sukan dan trek joging di kawasan perumahan supaya rakyat dapat mengurangkan stres dan menjadikan taman tersebut tempat beriadah sekeluarga dan mengamalkan gaya hidup yang sihat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata KPKT juga bercadang mewujudkan inisiatif Deposit MADANI iaitu deposit bernilai maksimum RM30,000 untuk pembeli rumah pertama selaras dasar kerajaan "rumahku, syurgaku". 

Inisiatif itu katanya bertujuan meringankan komitmen bayaran bulanan pembeli rumah pertama, terutama golongan belia dalam kalangan B40 dan M40, serta merealisasikan aspirasi kementerian agar setiap rakyat memiliki tempat tinggal.

Beliau berkata KPKT telah melaksanakan 12 inisiatif Belanjawan 2024 dan 10 daripadanya berjaya mencapai lebih 80 peratus daripada sasaran dalam tempoh enam bulan sahaja, seperti pemasangan 12,336 lampu jalan LED di kawasan pihak berkuasa tempatan dan menaik taraf 1,000 tandas awam.

Berhubung projek terbengkalai, Ng berkata kementerian berjaya memulihkan 704 projek sakit membabitkan nilai kasar RM58.94 bilion sejak Januari 2023 sekali gus membantu lebih 65,000 pembeli rumah. 

"Kami menyasarkan supaya tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang tahun 2030. KPKT akan meminda undang-undang supaya pemaju perumahan yang telah disabitkan kesalahan melakukan penipuan tidak akan dibenarkan ke luar negara.

"Kami juga akan mewujudkan akaun Escrow. Maksudnya, semua wang yang dibayar oleh pembeli akan digunakan khusus untuk projek tersebut sahaja. 

"Kini, tanpa akaun Escrow, pemaju boleh memindahkan wang dari projek A ke projek B sehingga projek A menjadi projek terbengkalai. Selepas pindaan ini, perkara sedemikian tidak akan dibenarkan lagi," katanya. 

Nga juga memaklumkan 33 pemaju Malaysia telah dinobatkan sebagai pemenang emas anugerah bertaraf antarabangsa iaitu FIABCI World Prix d’Excellence Awards.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan