AM

BELANJAWAN 2025: MOT HARAP MY50 DAPAT DITERUSKAN TAHUN DEPAN

20/08/2024 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan berharap inisiatif My50, yakni pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang dapat diteruskan untuk tahun depan menerusi Belanjawan 2025, kata Menterinya Anthony Loke.

Beliau berkata inisiatif ini dilihat perlu bagi memudahkan pengguna khususnya di Lembah Klang untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam dengan harga murah, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

"Kita agak bangga melihat pengguna My50 semakin ramai. Sekarang sudah mencecah lebih daripada 200,000 (pengguna) sebulan. Pengguna rel di Lembah Klang sekarang ini telah mencecah hampir 900,000 secara purata setiap hari. Kalau dicampur dengan bas, lebih 1.1 juta ridership kita setiap hari di Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ruang Letak Kereta Antara Malaysia Rapid Transit System (MRTS) dan Coronade Properties Sdn Bhd di sini hari ini.

Loke berkata usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi menambah baik sistem pengangkutan awam supaya lebih ramai warga kota khususnya di Lembah Klang dapat menggunakan pengangkutan awam.

Beliau berkata sistem pengangkutan awam di Lembah Klang juga masih memerlukan penambahbaikan kerana berhadapan dengan isu kesesakan lalu lintas.

"Jadi saya harap beberapa inisiatif dan juga projek yang kita telah minta dan pohon, akan diberikan pertimbangan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan