EKONOMI

COMMERCE ACCESS RAIH ANUGERAH APRESIASI KESELAMATAN SIBER MALAYSIA PADA CYBERDSA 2024

21/08/2024 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Commerce Access Sdn Bhd (CASB) menerima Anugerah Apresiasi Keselamatan Siber Malaysia pada acara Pertahanan dan Keselamatan Siber Asia (CyberDSA) 2024, baru-baru ini.

Syarikat penyumberan luar proses perniagaan (BPO) dan penyelesaian digital itu menjelaskan sumbangan luar biasa CASB untuk meningkatkan amalan keselamatan siber di Malaysia telah diiktiraf menerusi pemberian anugerah itu.

Ini sekali gus mengesahkan komitmen CASB dalam melindungi aset digital dan mengekalkan piawaian tertinggi integriti data, tambahnya.

“Pendekatan proaktif CASB terhadap keselamatan digital memastikan perkhidmatan syarikat bukan sahaja bersifat inovatif malah juga selamat, selain pelanggan dan pihak pemegang kepentingan tidak perlu lagi bimbang,” menurut syarikat itu dalam kenyataan pada Rabu.

Naib Presiden CASB Afidah Kamarudin berkata anugerah itu adalah satu pencapaian penting bagi pihaknya.

“Dalam era ancaman digital sentiasa berkembang, kami menetapkan misi untuk mengutamakan keselamatan siber dalam semua penyelesaian kami. Pengiktirafan ini membuktikan usaha berterusan kami untuk melindungi data pelanggan dan mendukung piawaian tertinggi dalam keselamatan digital,” katanya.

Menurut CASB Anugerah Apresiasi Keselamatan Siber Malaysia adalah bukti kepimpinan CASB dalam menggalakkan persekitaran digital yang selamat.

Melalui inovasi berterusan dan kerjasama dengan rakan industri, CASB telah menetapkan penanda aras untuk kecemerlangan keselamatan siber dalam sektor BPO, tambah syarikat itu.

Selain itu, Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDC), syarikat induk CASB, turut menerima anugerah Projek Keselamatan Siber Terbaik Tahun ini pada acara itu.

-- BERNAMA

 

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan