AM

ANWAR MAHU AGENSI BUMIPUTERA CONTOHI INTEGRITI PNB, PETRONAS DALAM URUS SYARIKAT

22/08/2024 07:15 PM

SHAH ALAM, 22 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu agensi bumiputera mencontohi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang terus mempertahankan integriti dalam pengurusan syarikat.

Perdana Menteri berkata syarikat berkenaan tidak menggunakan kuasa, nama dan kedudukan sebagai syarikat bumiputera untuk menjana keuntungan sebaliknya perkara itu diperoleh melalui ketelusan, kebertanggungjawaban serta integriti yang tinggi dalam pengurusannya sejak dahulu hingga kini.

“Mengurus institusi kewangan dengan lebih 12.5 juta pemegang unit bukan satu tugas yang mudah dan kejayaan ini atas usaha, titik peluh dan kerja keras mereka (PNB) yang kekal pertahan integriti sejak ia ditubuhkan.

"Jadi, kejayaan PNB dan Petronas ini dapat kita banggakan kerana kekal pertahankan integriti yang tinggi tanpa menggunakan nama bumiputera untuk berjaya,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dengan amalan integriti yang tinggi, beliau yakin PNB berada di landasan yang betul untuk memperkukuh kedudukan kewangan rakyat.

Perdana Menteri berkata pengurusan kewangan yang telus dan berintegriti menyaksikan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) pada tahun lepas mencatatkan peningkatan sebanyak 5.25 sen seunit berbanding 4.50 seunit pada 2022.

Beliau berkata kadar agihan pendapatan Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 juga bertambah kepada 4.75 sen seunit berbanding 4.50 sen seunit pada tahun sebelumnya.

“Sebab itu kita yakin jika diurus dengan baik dan pengurusan tahu nilai setiap sen wang pencarum, mereka tidak akan terpukau dengan kilauan serta kemegahan kuasa, sebaliknya terus kekal menguruskan pelaburan wang rakyat itu secara telus, penuh tanggungjawab selain berintegriti,” kata beliau.

Anwar berkata atas faktor itu, PNB telah diberikan mandat oleh kerajaan untuk menyokong inisiatif Memodenkan Industri Malaysia di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), satu inisiatif yang diinspirasikan dalam agenda Ekonomi MADANI seiring pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menghargai peranan penting Kumpulan PNB yang telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta memacu ekonomi ke arah pembangunan mampan.

Beliau berkata antaranya melalui penglibatan dalam pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak yang akan memberi fokus kepada penggunaan teknologi hijau bagi penjanaan tenaga.

“Apabila PNB ketuai gagasan teknologi hijau dan kawasan industri berteknologi tinggi di Kerian, saya anggap ia satu permulaan baik yang secara tidak langsung mengiktiraf potensi Kumpulan PNB sebagai pemangkin kemajuan ekonomi di negara ini,” kata beliau.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan inisiatif Celik MADANI: Celik Kewangan Belia MADANI, program di bawah PNB bertujuan memastikan golongan mahasiswa dan belia di Malaysia merancang kewangan mereka pada usia muda, selain membantu mengukuhkan kewangan mereka untuk terus melabur sehingga tamat pengajian.

Bagi inisiatif itu, Anwar mahu sebanyak 200,000 mahasiswa di seluruh negara didaftar setiap tahun dan berharap Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dapat bekerjasama dengan universiti dan penaja korporat untuk mendaftarkan pelajar sebagai pelabur di samping menjalankan aktiviti celik kewangan secara berterusan.  

Inisiatif Celik MADANI: Celik Kewangan Belia MADANI menyasarkan pendaftaran satu juta pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian vokasional baharu yang akan diberikan nilai pelaburan permulaan sebanyak RM50 seorang.

Inisiatif ini dilakukan hasil sumbangan bersama antara kerajaan Malaysia, PNB dan syarikat korporat, dengan nilai sumbangan keseluruhan berjumlah RM50 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan