EKONOMI

NILAI EKSPORT KOMODITI MALAYSIA CECAH RM160 BILION SETIAP TAHUN - JOHARI

21/08/2024 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Nilai eksport komoditi dan produk berasaskan komodiiti berjumlah sekitar RM160 bilion pada setiap tahun setakat ini, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata minyak sawit menjadi produk eksport terbesar dengan nilai melebihi RM100 billion daripada jumlah keseluruhan komoditi dieksport.

"Jumlah keseluruhan yang kita buat ini telah memberi cukai pendapatan kepada kerajaan hampir mencecah lebih RM20-RM25 billion pendapatan hasil komoditi negara" katanya ketika berucap pada sesi PENTALK (bual bicara) bersempena Perhimpunan Agung Umno 2024, di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Mengenai kelapa sawit, Johari berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi kini memberi tumpuan terhadap mengeluarkan sawit yang agak berbeza dengan mana-mana negara pengeluar lain dengan menekankan soal kemampanan.

"Kita tekankan supaya mana-mana negara dalam dunia tak boleh sekat kepala sawit Malaysia kerana kita mematuhi soal alam sekitar, penjagaan buruh dan dari segi penjagaan piawaian ditetapkan untuk negara mengeluarkan produk.

"Peranan kementerian adalah bagi memastikan bahawa produk Malaysia boleh pergi ke mana saja dunia tanpa ada isu yang boleh menyekat pengeluaran kelapa sawit," katanya.

Dalam pada itu Johari turut menegaskan KPK memberi perhatian yang khusus berkaitan pengeluaran kelapa sawit berbanding komoditi lain seperti getah kerana Malaysia adalah pengeksport kelapa sawit kedua terbesar di dunia. 

"Saya tak nak ia (sawit) jadi macam getah...dulu kita (Malaysia) pengeksport getah asli...sekarang kita jadi pengimport getah asli.

"Setiap tahun kerajaan terpaksa import RM6 bilion getah asli untuk diberikan kepada industri pakai bagi menghasilkan produk berasaskan getah," kata Johari.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan