EKONOMI

MALAYSIA JANGKA PERTUMBUHAN PERDAGANGAN DENGAN INDIA MENINGKAT SUSULAN LAWATAN PM ANWAR KE INDIA

22/08/2024 12:33 AM

Daripada V. Sankara

NEW DELHI, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangkakan pertumbuhan perdagangan dengan India meningkat pada 2024 berikutan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata banyak cadangan telah dibincangkan dalam lawatan itu, dengan Perdana Menteri memberi tempoh tiga bulan kepada kementerian untuk mengemukakan rancangan yang jelas bagi kerjasama dengan India dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata daripada perspektif MITI, lawatan itu membuahkan hasil, yang menyaksikan pertemuan dua hala antara Anwar dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi.

Tengku Zafrul yang mengiringi lawatan Perdana Menteri ke India berkata kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menambah baik perjanjian sedia ada, terutama dalam konteks kerjasama menyeluruh antara Malaysia dan India.

“Kerjasama ini meliputi pelbagai sektor termasuk pelaburan, perdagangan, pembuatan, semikonduktor, ekonomi digital dan keselamatan makanan,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Dalam sidang media bersama semalam, Anwar dan Modi mengumumkan persetujuan Malaysia dan India untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Nilai perdagangan antara Malaysia dan India pada 2023 berjumlah RM72.31 bilion.

Mengulas pengumuman Anwar hari ini mengenai komitmen pelaburan berjumlah RM4.5 bilion yang diraih daripada pelbagai sektor dan syarikat di India, Tengku Zafrul berkata tiga syarikat India komited untuk melabur sebanyak RM4.5 bilion di Malaysia.

Sebelum ketibaan Perdana Menteri di India, Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif telah diadakan antara syarikat Malaysia dan India.

Tengku Zafrul turut memaklumkan pertemuan satu dengan satu antara Perdana Menteri dengan tiga syarikat hari ini, iaitu Tata Consultancy Services (TCS), Emami Agrotech Ltd dan HCL Tech, di sini serta perbincangan meja bulat dengan 31 syarikat India sama ada beroperasi di Malaysia atau bercadang memulakan operasi di Malaysia.

Beliau berkata antara isu yang ditekankan oleh Anwar dalam pertemuan meja bulat itu adalah perancangan bakat khususnya dalam bidang kejuruteraan.

Tengku Zafrul berkata, justeru syarikat India telah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Malaysia untuk melatih pelajar mendapatkan pekerjaan dalam sektor ini.

Malah, dua syarikat semikonduktor India telah menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia dalam bidang seperti pembungkusan termaju dan reka bentuk IC berikutan Malaysia yang lebih ke hadapan berbanding India.

Terdahulu, sebagai langkah penting ke hadapan bagi hubungan perniagaan India-Malaysia, tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) perniagaan kepada perniagaan telah ditukar antara entiti Malaysia dan India, yang disaksikan oleh Tengku Zafrul.

MoU ini menekankan komitmen Malaysia dan India untuk meluaskan kerjasama ekonomi, membina kekuatan bersama dan mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan dan pembangunan di kedua-dua negara.

Syarikat yang terlibat dalam pertukaran MoU itu adalah Renergy Bumi Hijau Sdn Bhd dengan Thiagarajar College of Engineering, Madurai, Tamil Nadu; Beyond4 Sdn Bhd dengan T-HUB Foundation; dan Mutiara Etnik Sdn Bhd dengan Neptune Automation SWM Pvt Ltd.

Selain itu Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dengan Rail Vikas Nigam Ltd, India; Cradle Fund dengan Invest India iaitu agensi promosi dan pemudahcara pelaburan rasmi kerajaan India; SMH Rail Sdn Bhd Malaysia dengan BEML Ltd, Bangalore, India; dan Majlis Perniagaan Malaysia-India dengan Invest India.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan