AM

PUTERA MAHKOTA BRUNEI BERANGKAT PULANG AKHIRI LAWATAN RASMI LIMA HARI DI MALAYSIA

21/08/2024 05:18 PM

SUBANG JAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah berangkat pulang ke Brunei hari ini, menamatkan lawatan rasmi baginda selama lima hari di Malaysia.

Pesawat khas yang membawa Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta delegasi, berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di sini pada pukul 3.30 petang.

Hadir menyaksikan keberangkatan pulang Putera Mahkota Brunei serta delegasi ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Ahad lepas Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei berkenan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, dan berbincang mengenai usaha mengukuhkan hubungan dua hala, dan isu-isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Isnin, Putera Mahkota Brunei melawat Pameran Raja Kita di Muzium Negara untuk melihat pameran yang terdiri daripada lebih 272 koleksi dan item berkaitan Institusi Yang di-Pertuan Agong serta koleksi peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Pada hari yang sama, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah turut berkenan mengadakan pertemuan serta jamuan minum petang bersama syarikat-syarikat multinasional (MNC) di sebuah hotel di ibu kota.

Lawatan Putera Mahkota Brunei menambah lagi makna kepada hubungan istimewa dan mesra antara Malaysia dan Brunei yang bertunjangkan kesamaan warisan, budaya dan hubungan antara rakyat, terutamanya ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik tahun ini.

Brunei ialah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023, dengan jumlah dagangan sebanyak US$2.04 bilion (RM9.31 bilion).

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan