SUKAN

PAHANG RAIH GANGSA BOLA SEPAK WANITA SUKMA 2024

21/08/2024 11:32 PM

KUCHING, 21 Ogos (Bernama) -- Pasukan bola sepak wanita Pahang menewaskan Wilayah Persekutuan 3-1 untuk mengesahkan pingat gangsa Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dalam perlawananan penentuan berlangsung di Stadium Negeri malam ini.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang menerusi percubaan menarik amia Zulaikha Mohd Norkhairi untuk membuka jaringan pertama Pahang pada minit ke-27 namun terkena palang gol lawan.

Enam minit kemudian Wilayah Persekutuan berpeluang meledakkan gol pertama menerusi serangan balas Muskan Abd Majid namun gagal disempurnakan dengan baik.

Pahang terus menguasai perlawanan dengan larian pantas Kaseh Carlmila Az Zahra Mohd Ridhuwan yang berjaya mengelecek dua pemain pertahanan lawan sebelum menjaringkan gol pertama pada minit ke-42.

Memasuki babak kedua perlawanan Wilayah Persekutuan kembali menyusun perlawanan untuk menyamakan kedudukan menerusi Nur Sharmila Zulkifli yang mudah menewaskan pertahanan lawan untuk jaringan pada minit ke-50.

Kemudian Pahang menambah tekanan pasukan lawan dengan jaringan kedua hasil tandukan kemas K.Thurgasini pada minit ke-57 sebelum skuad bimbingan Mohd Zerry Nazeri menambah jaringan ketiga menerusi sepakan jarak jauh Kaseh Carlmila yang singgah ke dalam gawang lawan.

Perlawanan penentuan pingat emas antara Selangor dan Sabah dijadual berlangsung esok.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan