EKONOMI

PETRONAS MULAKAN PENGELUARAN GAS PERTAMA DI MEDAN KASAWARI

21/08/2024 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memulakan pengeluaran gas di medan Kasawari di Blok SK316, Sarawak dengan kadar aliran awal 200 juta kaki padu standard sehari (MMscf/d).

Blok SK316 terletak kira-kira 200 kilometer dari pesisir Sarawak, ia dikendalikan oleh Petronas Carigali Sdn Bhd yang memegang 90 peratus kepentingan manakala baki 10 peratus dipegang Exploration and Production Malaysia Venture.

“Ditemui pada 2011, medan gas Kasawari merupakan sumber bahan mentah penting bagi kompleks gas asli cecair Petronas di Bintulu dan pada masa sama memenuhi permintaan gas domestik yang semakin meningkat.

"Medan gas ini mengandungi kira-kira 10 trilion kaki padu sumber gas asli, dengan kadar jualan gas 545 MMscf/h," kata Petronas dalam satu kenyataan.

Pembangunan medan gas Kasawari termasuk platform pemprosesan pusat (CPP), platform pembakaran dan platform kepala telaga, kesemuanya bersambung dengan CPP menerusi jambatan.

Gas dari medan gas itu dieksport ke platform riser baharu di pusat pengeluaran E11 melalui saluran paip keluli karbon sepanjang 81 kilometer untuk penghantaran kepada pelanggan di Bintulu.

Petronas juga menekankan bahawa platform dan jambatan Kasawari telah dilakukan secara tempatan oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd di Pasir Gudang dan Ocean Might Sdn Bhd di Kuching.

“CPP untuk medan gas itu disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai struktur luar pesisir paling berat dengan jumlah berat keseluruhan 53,893 tan metrik,” katanya.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Bacho Pilong berkata projek Kasawari adalah bukti keupayaan tempatan dalam melaksanakan projek berskala besar.

“Pencapaian ini melibatkan lebih 450 subkontraktor dan vendor tempatan, berjaya disiapkan dalam tempoh 26.6 juta jam bekerja.

“Pencapaian penting ini dicapai dengan sokongan padu daripada kerajaan persekutuan dan negeri sekain kerjasama antara kontraktor penyusunan petroleum kami dan penyedia perkhidmatan tempatan,” kata Petronas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan