SUKAN

TUAH BUMI KENYALANG, IMPIAN JING XUAN CIPTA REKOD BAHARU SUKMA TERCAPAI

21/08/2024 08:56 PM

KUCHING, 21 Ogos (Bernama) -- Atlet tuan rumah Ng Jing Xuan berjaya melunaskan impiannya untuk melebur rekod Sukan Malaysia (SUKMA) acara merejam lembing wanita pada penampilan terakhirnya di temasya dwitahunan kebangsaan hari ini.

Pada aksi final di Stadium Sarawak di sini, Jing Xuan melakukan rejaman sejauh 45.12 meter (m), untuk memadam rekod temasya berusia 16 tahun dilakukan Ho Sin Hui juga dari Sarawak pada edisi 2008 di Terengganu dengan catatan 44.98m.

Meskipun jarak dilakukan itu tidak setanding catatan peribadi terbaiknya 45.57m, namun ia sudah memadai untuk mempertahankan pingat emas dimenanginya pada edisi lepas di Kuala Lumpur.

“Rasa gembira sebab dapat sumbangkan satu emas kepada negeri saya, Sarawak. Memandangkan ini adalah SUKMA terakhir saya, matlamat utama adalah untuk pecah rekod temasya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas saingan final di sini.

Pingat perak acara itu menjadi milik Noor Aliya Alias dari Terengganu yang mencipta 39.11m dan wakil Sabah Maryjane Juberin gangsa dengan catatan 39.01m.

Esok Jing Xuan berpeluang menambah koleksi pingat lagi apabila dijadual beraksi dalam final lontar peluru, namun atlet berusia 20 tahun itu tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik.

Dalam pada itu, beliau mengakui merejam lembing merupakan acara yang menarik dan menjadi kegemarannya.

“Merejam lembing acara yang menyeronokkan bagi saya kerana ia merupakan acara teknikal. Anda perlu menguasai setiap teknik dengan baik untuk membuat lontaran yang sempurna, itulah sebabnya saya rasa ia adalah acara menarik,”  katanya yang mengidolakan pemegang rekod dunia merejam lembing wanita Barbora Spotakova dari Republik Czech.

Rekod dunia Spotakova adalah 72.28m yang diciptanya pada 2008.

Sementara itu, Esther Joy Hong Li Chen dari Selangor merangkul emas keduanya pada edisi kali ini dengan mengungguli final 3,000m lari berhalangan wanita selepas menyambar emas acara 5,000m pada Isnin lepas.

Atlet berusia 21 tahun itu merakam masa 12 minit 12.66 saat (s) untuk menewaskan atlet tuan rumah Clezendra Chanda Cevester Empari di tempat kedua (12:31.58s) diikuti wakil Sabah Ledia Engku ketiga dengan catatan 12:49.72s.

Dalam pada itu, hasrat atlet Terengganu Muhammad Fahrin Aiman Yusmizan untuk memecahkan rekod temasya tidak kesampaian selepas merangkul emas 3,000m lari berhalangan dengan merakamkan 9:48.89s untuk berbanding rekod temasya 9:20.25s.

G. Mathan Raj dari Selangor di tempat kedua dengan masa 10:02.12s dan wakil Sarawak Faris Khuzairie Faizal melengkapkan kedudukan podium dengan catatan 10:05.52s.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan