AM

PCMC REVOLUSI PERKHIDMATAN KECEMASAN DENGAN AMBULANS MOTOSIKAL ELEKTRIK PERTAMA NEGARA

21/08/2024 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) dengan kerjasama First Ambulance, melancarkan ambulans motosikal elektrik pertama di Malaysia sebagai perkhidmatan respons pertama, sebagai komitmen hospital itu menyediakan bantuan perubatan menyelamatkan nyawa lebih pantas dan meningkatkan penjagaan kecemasan.

PCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ambulans motosikal elektrik itu, memainkan peranan penting dalam usaha hospital itu memperbaiki tempoh masa bertindak, menyediakan perubatan segera di kawasan trafik sesak sehingga ambulans konvensional tiba, untuk membawa pesakit ke jabatan kecemasan dan kemalangan.

“Dilengkapkan dengan bekalan perubatan mencukupi, ambulans motosikal elektrik membolehkan paramedik menstabilkan pesakit dan memberikan intervensi vital dengan cepat, yang boleh menjadi penting dalam situasi yang mengancam nyawa.

“Sebagai sebahagian daripada dedikasi Prince Court untuk kesejahteraan komuniti, pihak hospital menyediakan perkhidmatan ambulans percuma dalam lingkungan 10 kilometer daripada lokasi hospital itu di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PCMC Dr Shuba Srinivasan berkata di PCMC, komitmen mereka untuk penjagaan pesakit dan tindak balas kecemasan, mendorong mereka untuk terus menetapkan standard baru.

“Pelancaran ambulans motosikal elektrik kami, mewakili satu langkah singnifikan dalam memberikan bantuan perubatan dengan lebih cepat dan efisien.

“Dengan inisiatif ini, PCMC berada pada barisan hadapan dalam respons kecemasan perubatan, mempertingkatkan dedikasi kami sebagai penyedia penjagaan kesihatan bertanggungjawab untuk meningkatkan kehidupan komuniti di tempat kami berkhidmat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan First Ambulance Steven Penafort berkata mereka berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Prince Court melancarkan ambulans motosikal elektrik, sebagai sebahagian daripada respons kecemasan kami.

“Pendekatan inovatif ini akan membantu paramedik kami sampai kepada pesakit lebih cepat dan menyediakan intervensi penting dengan lebih efektif. Kami berbangga untuk menyokong Prince Court dalam meningkatkan lagi penjagaan pesakit,” katanya.

PCMC juga telah turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Orion Residence, sebuah pembangunan hartanah di Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur untuk satu kerjasama menyediakan penduduk dengan satu butang panik bersepadu dalam kawasan kediaman, yang menghubungkan secara terus ke perkhidmatan ambulans PCMC, secara signifikannya meningkatkan keupayaan respons.

Pengarah Eksekutif Orion Tower Sdn Bhd Thomas Ling berkata mereka berbangga untuk bekerjasama dengan PCMC untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kami.

“Sistem butang panik yang baharu, disokong ambulans motosikal elektrik PCMC dan ambulans, akan memastikan respons kecemasan yang pantas dan memberikan pendudukan kami ketenangan fikiran, apabila mengetahui bantuan boleh tiba hanya dengan menekan satu butang.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami terhadap komuniti yang selamat dan saling menyokong,” kata Ling.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan