AM

BAS SUK SELANGOR TERBABAS, ENAM KAKITANGAN MAHKAMAH CEDERA PARAH

21/08/2024 06:41 PM

SHAH ALAM, 21 Ogos (Bernama) -- Enam kakitangan Mahkamah Selangor cedera parah apabila bas milik Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang dinaiki terbabas ke dalam parit sedalam dua meter di Jalan Simpang Morib, Kampung Kelanang di Banting, Kuala Langat, dekat sini kira-kira 1 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata kelindan bas terbabit turut mengalami kecederaan parah dan kesemua mangsa yang berumur antara 30 hingga 40 tahun itu dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan.

Beliau berkata ketika kejadian, bas terbabit membawa 21 penumpang yang merupakan kakitangan Mahkamah Selangor.

“Baki (kakitangan mahkamah dan pemandu) daripada keseluruhan 21 individu yang menaiki bas itu hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Md Razali berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.07 tengah hari dan 11 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan Telok Panglima Garang digerakkan dan tiba ke lokasi 11 minit kemudian.

Siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila bas berkenaan cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar dari simpang, kata beliau.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan