AM

TINGKATKAN PEMANTAUAN, ELAK KENAIKAN HARGA BARANGAN - FAHMI

21/08/2024 06:54 PM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Semua kementerian diarah meningkatkan pemantauan di pelbagai peringkat bagi mengelak berlaku kenaikan harga barangan susulan pengumuman mengenai kenaikan gaji penjawat awam di bawah skim baharu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) hujung tahun ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di sini hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri juga akan turun padang meninjau kawasan masing-masing atau lokasi yang dirasakan perlu untuk dilaksanakan pemantauan. 

“(Ada) keperluan untuk memastikan aspek penguatkuasaan dipertingkat (bagi) memastikan harga barang tidak naik terutama makanan di restoran.

“Ada peringatan khusus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetapi kementerian-kementerian (lain) juga diminta untuk tingkatkan pemantauan,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Merujuk kepada sesi libat urus Belanjawan 2025 bagi semua kementerian, Fahmi berkata sesi libat urus akan diteruskan bagi mendapatkan maklum balas untuk penyediaan dokumen berkaitan perkara itu.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) maklumkan hasil sesi libat urus antara kementerian dan pemegang taruh berjalan cukup baik (minggu lepas).… kita diminta teruskan (sesi libat urus) dan kumpul maklum balas semua kementerian untuk teliti cadangan dirasakan sesuai dimasukan dalam dokumen,” katanya.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

Sementara itu Fahmi berkata mesyuarat hari ini turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) Allahyarham Rozaid Abdul Rahman yang meninggal dunia Ahad lepas.

“Pemergian beliau amat dirasai dan segala jasa bakti sangat dikenang,” katanya.

Rozaid menghembuskan nafas terakhir kediamannya di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, petang semalam akibat masalah jantung pada usia 59 tahun.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan