AM

APMM JALIN KERJASAMA STRATEGIK SELESAIKAN KONFLIK ANTARA NELAYAN

21/08/2024 07:15 PM

GEORGE TOWN, 21 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengambil inisiatif kerjasama strategik dalam membantu menyelesaikan konflik berlarutan antara nelayan pukat tunda dan nelayan pantai di negeri ini berhubung isu pencerobohan kawasan penangkapan ikan.

Pengarah berkenaan Kapten Maritim Razali Kasim berkata isu antara kedua-dua kumpulan nelayan itu telah berlarutan lebih 20 tahun dan pihaknya mengambil inisiatif untuk bertemu kedua-duanya bagi memastikan mereka memahami syarat-syarat untuk menangkap ikan di kawasan yang ditetapkan.

Beliau berkata berdasarkan syarat ditetapkan, nelayan pukat tunda tidak boleh menangkap ikan dalam kawasan 5 batu nautika dari pantai dan tindakan mereka menyebabkan nelayan pantai sukar mendapat hasil laut.

"Sejak April lepas, ketika mula mengambil alih tugas (pengarah Maritim Malaysia), saya turun bertemu dengan persatuan nelayan pantai, persatuan nelayan pukat tunda dan unit-unit nelayan secara berperingkat bagi memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan mematuhi undang-undang penangkapan ikan yang ditetapkan.

"Akhirnya bulan lepas,  kami berjaya mendapat persetujuan daripada Persatuan Nelayan Pukat Tunda Pulau Pinang untuk mereka tidak menangkap ikan di kawasan yang kurang daripada 5 batu nautika dari kawasan pantai yang merupakan kawasan nelayan pantai," katanya pada sidang akhbar selepas perbincangan antara kedua-dua persatuan nelayan itu dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara) Mahadi Md Rodzi dan Pengerusi Persatuan Nelayan Pukat Tunda Pulau Pinang Tan How Chai serta ahli kedua-dua persatuan nelayan.

Razali berkata kerjasama strategik itu bukan untuk Maritim Malaysia Pulau Pinang tidak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar syarat lesen, sebaliknya mahu semua nelayan memahami dan patuh dengan undang-undang.

Malah hasil daripada usaha yang dijalankan itu, pihaknya mendapati tiada lagi kes pencerobohan kawasan penangkapan ikan di kawasan pantai oleh nelayan pukat tunda. Walau bagaimanapun, Maritim Malaysia memberi amaran akan mengambil tindakan tegas jika mereka melanggar syarat lesen menangkap ikan, tambah Razali.

''Sepanjang Julai hingga semalam tiada lagi kes pencerobohan oleh pukat tunda, malah kami juga tidak menerima  apa-apa aduan daripada nelayan pantai mengenai pencerobohan bot pukat tunda atau pelanggaran pukat di kawasan nelayan pantai,” katanya.

Sementara itu, Chai berkata pihaknya akan mematuhi peraturan dan dalam masa yang sama sentiasa menyalurkan maklumat kepada 200 ahli Persatuan Nelayan Pukat Tunda Pulau Pinang agar mereka sentiasa mematuhi syarat lesen menangkap ikan ditetapkan.

Mahadi pula berkata sejak bulan lepas, berlaku peningkatan hasil laut oleh kebanyakkan nelayan pantai berikutan tiada lagi pencerobohan nelayan pukat tunda di kawasan 5 batu nautika dari pantai.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan