AM

TAMAN BOTANI DIBUKA SEPANJANG PEMBINAAN KERETA KABEL BUKIT BENDERA

21/08/2024 10:13 PM

GEORGE TOWN, 21 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) memaklumkan Taman Botani Pulau Pinang dibuka kepada orang ramai  sepanjang tempoh pembinaan projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang dijangka siap menjelang Jun 2026.

PBBPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan hanya pusat penjaja semasa dan tempat letak kereta berhadapan dengan Pejabat Jabatan Taman Botani Pulau Pinang serta kawasan tempat letak kereta di luar Taman Botani Pulau Pinang akan ditutup sementara kepada orang ramai semasa fasa pembinaan projek Kereta Kabel Bukit Bendera.

"Pada masa ini, pengunjung digalakkan untuk meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta Taman Bandaraya (Youth Park) atau tempat letak kereta Kuil Arulmigu Balathandayuthapani yang berdekatan dengan Taman Botani Pulau Pinang.

"PBBPP akan terus bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mencari penyelesaian dalam menyediakan lebih banyak ruang letak kereta bagi kemudahan pengunjung terutama pada hujung minggu dan cuti umum," kata kenyataan itu.

PBBPP memaklumkan pusat penjaja akan dipindahkan ke tapak sementara bersebelahan pejabat Taman Botani Pulau Pinang pada penghujung September ini bagi memastikan penjaja dapat meneruskan perniagaan tanpa sebarang gangguan.

Kenyataan itu turut memaklumkan tapak pusat penjaja sekarang akan berubah menjadi tempat letak kereta bertingkat serta kompleks komersial yang mempunyai lebih banyak kemudahan moden dan setelah ia siap, penjaja yang kini beroperasi di pusat penjaja sementara akan berpindah ke kompleks komersial berkenaan.

"PBBPP sentiasa menitikberatkan keselamatan orang awam dan pihaknya bersama Hartasuma Sdn Bhd iaitu syarikat konsesi projek kereta kabel akan memastikan semua standard dan prosedur keselamatan dipatuhi," mengikut kenyataan itu.

Projek yang dinanti-nantikan ini dijangka memberi sumbangan besar kepada sektor pelancongan di negeri ini dan membawa faedah sosio-ekonomi kepada penduduk setempat.

PBBPP menyatakan projek kereta kabel itu secara keseluruhannya akan menangani masalah tempat letak kereta dan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Kebun Bunga di samping menambah baik kemudahan awam untuk pengunjung Taman Botani Pulau Pinang.

Sebelum ini, media melaporkan PBBPP mengumumkan pusat peranginan Bukit Bendera bakal menikmati perkhidmatan kereta kabel yang dijangka siap dalam suku ketiga 2026.

Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bernilai RM245 juta itu mempunyai laluan sepanjang 2.73 kilometer dengan tiga buah stesen iaitu Stesen Taman, Gelung Belokan dan Stesen Bukit.

Jajaran kereta kabel itu akan bermula dari Stesen Taman Ekonomi yang sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di belakang Balai Polis Bukit Bendera.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan