POLITIK

UMNO HARUS PERANGI POLITIK TOKSIK - MOHAMAD HASAN

21/08/2024 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- UMNO harus memerangi ‘politik toksik’ yang jika tidak dibendung akan menyemarakkan api perkauman dan kebencian, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional itu berkata orang Melayu mesti disedarkan bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau akan menjadikan mereka anti akal, anti kebenaran dan anti segala-galanya.

“Ia tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia akan menambah perpecahan dalam kalangan orang Melayu. Ia akan mencederakan budaya dan adab politik Melayu dengan kecederaan yang dahsyat,” katanya dalam ucapan perasmian serentak pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang turut dihadiri pimpinan tertinggi parti dan ketua ketiga-tiga sayap, di sini malam ini.

Mengambil contoh apa yang berlaku di bandar-bandar besar di England dan Ireland Utara baru-baru ini yang menyaksikan berlakunya rusuhan dan kebencian, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata ia adalah akibat daripada ‘politik toksik’.

Beliau berkata yang menjadi mangsa ialah mereka yang tidak bersalah manakala yang rugi adalah seluruh negara dan rakyat.

“Situasi ini seharusnya menjadi teladan kepada kita akan peri bahayanya politik toksik dan prejudis yang membuta tuli,” katanya yang mengharapkan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri supaya membahas dan meneroka jalan menangani gejala politik toksik.

Beliau berkata masa depan UMNO sangat bergantung kepada keberkesanan parti memerangi ‘politik toksik’.

Selain itu, Mohamad berkata kejatuhan kerajaan Bangladesh adalah akibat desakan berterusan  generasi muda yang digelar ‘Generation Z revolution’ dan untuk itu, UMNO perlu bijak menguruskan generasi berkenaan.

Beliau berkata sekiranya gagal, UMNO akan melalui pilihan raya yang lebih sukar dalam masa tiga tahun dari sekarang, malah lebih sukar daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mereka tidak mempunyai ‘sentimental attachment’ dengan UMNO  atau tidak mempunyai hubungan langsung dengan UMNO. Mereka membesar dalam dunia yang menyaksikan UMNO tidak lagi dominan dalam persada politik negara tetapi disaingi oleh pelbagai pemain lain dalam landskap politik negara.

Mohamad berkata realiti hari ini menyaksikan ‘ruang demokrasi’ adalah di persada maya dan perkara sama turut berlaku pada pemilihan Presiden Indonesia beberapa bulan lepas, yang menyaksikan hampir semua kempen dilaksanakan dengan penuh kreativiti di media sosial berbanding kaedah konvensional. 

“Saya menyeru agar UMNO menubuhkan ‘Team Sukses UMNO’ dengan kadar segera. Matlamatnya hanya satu menjayakan operasi ‘Bringing Back UMNO’. Fokus utama pasukan sepenuh masa ini ialah melaksanakan pelbagai operasi elektoral bagi UMNO,” katanya.

Sementara itu menjelang sambutan Hari Kebangsaan, Mohamad berkata ia perlu dijiwai dengan memelihara keamanan dan pembangunan yang dinikmati.

“Jangan musnahkan ia, hanya kerana perseteruan politik antara sesama kita. Maka jangan sia-siakan harga nyawa yang dikorbankan oleh pejuang dan pelopor kemerdekaan terdahulu. Tanamlah azam untuk memajukan tanah air tercinta dengan sebaik-baik kemajuan dan menjadikan ia negara yang paling damai, sejahtera dan dicontohi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan