AM

DEKORASI JALUR GEMILANG ABDUL AZIZ, SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTIK KANAK-KANAK

22/08/2024 12:25 PM

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi

KANGAR, 22 Ogos (Bernama) -- Saban tahun menjelang Bulan Kebangsaan, seorang pesara dengan penuh semangat menterjemahkan jiwa patriotiknya melalui pelbagai dekorasi Jalur Gemilang yang menarik perhatian ramai, terutama kanak-kanak.

Usaha Abdul Aziz Shaari, 61, yang kreatif ini telah menjadi ikutan, memeriahkan suasana kemerdekaan dan membangkitkan semangat patriotik dalam komuniti.

Tahun ini, beliau yang berasal dari Kampung Santan di sini, mengambil inisiatif menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan dekorasi Jalur Gemilang yang meriah, lengkap dengan landskap ala 'taman mini' di rumahnya.

Katanya sejak lapan tahun lalu, beliau tidak pernah ketinggalan menghiasi laman luar rumahnya dengan pemasangan Jalur Gemilang secara kreatif sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

"Selepas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) melancarkan Bulan Kebangsaan tahun ini, saya mula memasang Jalur Gemilang dengan dekorasi antaranya membuat 'pintu gerbang' kecil tertera tulisan "Negaraku" menggunakan pinggan plastik (jenis pakai buang)," katanya kepada Bernama.

Pemerhatian Bernama di laman luar rumahnya menunjukkan Jalur Gemilang dipasang dengan dekorasi menarik, termasuk pokok dan bunga yang mencipta suasana seperti ‘taman mini’. Ruang tersebut turut diindahkan dengan tiga bangsal kecil, dua daripadanya dihiasi gambar-gambar lama mengenai kemerdekaan negara ini.

Abdul Aziz, bekas kakitangan Jabatan Penerangan Perlis, berkata dekorasi di laman luar rumahnya mula dibuat secara berperingkat sejak beliau berpindah ke kampung tersebut lapan tahun lalu.

“Dekorasi baharu untuk Bulan Kebangsaan tahun ini antaranya ‘pintu gerbang’ ini yang diperbuat daripada bahan terpakai. Bila ditanya kos hiasan pemasangan Jalur Gemilang ini, saya tidak boleh beri anggaran, sebab banyak guna bahan-bahan terpakai, duit banyak guna beli Jalur Gemilang saja,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, beliau merasa seronok dan puas hati apabila rumahnya sering dikunjungi penduduk kampung, termasuk golongan muda, yang singgah di bangsal kecilnya untuk melihat dekorasi. Hal ini juga menggalakkan mereka untuk turut serta memasang Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.

“Orang kampung dan murid sekolah sering singgah di sini. Melihat Jalur Gemilang yang saya pasang, mereka juga akan memasangnya di rumah masing-masing. Selain itu, gambar-gambar sejarah lama yang saya pamerkan turut memberikan pengetahuan mengenai kemerdekaan kepada murid sekolah,” katanya.

Abdul Aziz berkata isterinya, Ku Habsah Ku Abd Rahman, 56, banyak membantunya dalam kerja-kerja dekorasi laman itu serta memberikan idea dan cadangan untuk menambah baik hiasan sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Sementara itu, kanak-kanak di kampung itu Muhammad Daim Darwisy Mohd Faizal, 12, dan Putra Ammar Faris Abdul Hakim, 10, yang sering mengunjungi rumah Abdul Aziz berkata mereka berasa teruja melihat banyak Jalur Gemilang dipasang dengan hiasan menarik.

Muhammad Daim Darwisy dan Putra Ammar Faris berkata pemandangan itu memberi inspirasi dan galakan kepada mereka untuk memiliki semangat patriotisme seperti Abdul Aziz melalui kibaran Jalur Gemilang.

“Bila saya singgah di bangsal ini, saya dapat mengetahui dan mengingatkan diri mengenai sejarah kemerdekaan negara secara langsung melalui gambar-gambar lama, termasuk gambar Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan kita,” kata Muhammad Daim Darwisy.

"Saya pun terikut-ikut untuk menjadi patriotik dan ingin memasang Jalur Gemilang setelah melihat banyak Jalur Gemilang dipasang di sini (rumah Abdul Aziz). Saya pasang Jalur Gemilang pada basikal saya dan menghiasnya supaya kelihatan cantik,” kata Putra Ammar Faris.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan