AM

SK BINTONG TERJEMAH SEMANGAT PATRIOTISME MELALUI PEMASANGAN JALUR GEMILANG 'GERGASI'

22/08/2024 06:49 PM

KANGAR, 22 Ogos (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong di sini menterjemahkan semangat patriotisme sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia melalui inisiatif memasang Jalur Gemilang 'gergasi' sepanjang 21.9 meter dan setinggi 4.5 meter di sekolah itu hari ini.

Guru Besar sekolah itu Zairi Bakar berkata Jalur Gemilang ini dihasilkan dengan cantuman 60 keping Jalur Gemilang yang dijahit sendiri oleh guru-guru sekolah itu dengan gerak kerja menjahit dimulakan sejak awal Ogos lagi dan berjaya disiapkan minggu lepas.

Beliau berkata SK Bintong cuba mencari kelainan untuk sambutan  tahun ini selain menjadikan inisiatif itu tarikan baharu kepada murid-murid sekolah, sekali gus memberikan kesan mendalam untuk mereka lebih menyayangi negara ini.

"Pembuatan bendera (Jalur Gemilang) ini bermula dengan perbincangan awal di peringkat guru dan staf, kami mencuba memberikan sesuatu yang boleh memberikan impak kepada murid. Jalur Gemilang ini dibeli dengan hasil sumbangan guru-guru dan staf sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan peringkat SK Bintong dan Jalur Gemilang 'gergasi' itu hari ini yang disempurnakan Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Perlis Che Rasaidi Che Yob.

Zairi berkata Jalur Gemilang ini akan dipasang sehingga sambutan Hari Malaysia September depan.

Sementara itu, dua pelajar, Nur Fathiya Aisya Mohd Faizal, 11, dan Iftinan Rafeeza Radzuan, 11, berkata mereka begitu teruja melihat Jalur Gemilang bersaiz besar itu dan menaikkan semangat mereka untuk lebih menghargai dan mencintai negara ini.

Sewaktu lagu 'Jalur Gemilang' diputarkan, mereka memandang Jalur Gemilang bersaiz gergasi itu sambil mengenang kesusahan dan perjuangan tokoh-tokoh terdahulu, termasuk Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dalam mendapatkan kemerdekaan negara ini.

"Bila dengar lagu 'Jalur Gemilang' dan tengok bendera besar ini, saya rasa semangat untuk sambut merdeka (Hari Kebangsaan), rasa seronok jadi rakyat Malaysia, saya terbayangkan tokoh-tokoh lama nak capai kemerdekaan, teringat budi mereka," kata Nur Fathiya Aisya.

"Saya rasa seronok hari ini bila tengok bendera besar ini, rasa semangat, saya juga rasa bertuah jadi rakyat Malaysia, bila dengar lagu 'Jalur Gemilang' dengan bendera besar ini, buat saya rasa untuk lebih menghargai negara ini," kata Iftinan Rafeeza.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan