AM

PIALA FA: OPERASI LRT BUKIT JALIL DILANJUTKAN HINGGA 1 PAGI

22/08/2024 11:33 AM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Waktu operasi Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 1 pagi Ahad ini sempena perlawanan akhir bola sepak Piala FA Malaysia 2024 antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Perlawanan itu dijadualkan berlangsung pada 9 malam, Sabtu.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan bagi memastikan kelancaran pergerakan dan keselesaan penumpang untuk pulang ke destinasi masing-masing.

“Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, bagaimanapun para penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan. 

“Semua stesen pertukaran rel turut dilanjutkan waktu operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut menyarankan penumpang menggunakan kad Touch 'n Go bagi perjalanan lebih lancar serta mengelakkan kesesakan manakala bagi pengguna token, digalakkan membeli token pergi dan balik.

Para penumpang juga dinasihatkan supaya menggunakan fasiliti parkir Park N’ Ride yang terdapat di stesen terpilih.  

“Bagi memudahkan penumpang merancang perjalanan, sila rujuk media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE bagi mendapatkan informasi terkini mengenai status perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan