BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM

TINGKATKAN PENGELUARAN, PRODUKTIVITI INDUSTRI AKUAKULTUR ANTARA TUMPUAN JABATAN PERIKANAN

24/08/2024 05:09 PM

PADANG BESAR, 24 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan pelbagai program bagi meningkatkan pengeluaran dan produktiviti industri akuakultur yang selari dengan cabaran dan keperluan keterjaminan makanan pada masa ini menjadi antara tumpuan Jabatan Perikanan.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata Program Rasa-Rasa Akuakultur yang dianjurkan pihaknya sejak 2021 antara usaha yang bertujuan mempromosikan dan menggalakkan ikan akuakultur dijadikan hidangan harian masyarakat.

“Kempen promosi program itu pada tahun ini memberikan tumpuan kepada ikan tilapia GIFT (Genetically Improved Farmed Tilapia), ikan susu dan 'laktut',” katanya pada majlis perasmian Program Rasa-Rasa Akuakultur 2024 peringkat negeri Perlis di Santuari Ikan Air Tawar, Tasik Timah Tasoh dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan, Jabatan Perikanan Khazlita Adzim Abdol Aziz. 

Adnan berkata Jabatan Perikanan sedang giat mempromosikan ikan susu sebagai antara menu harian rakyat, dan menerusi program itu pengunjung boleh merasai serta mencuba pelbagai menu berasaskan ikan susu.

Beliau berkata melalui beberapa siri program yang telah dijalankan, jabatan dan agensi serta golongan sasar berpeluang melihat, merasai serta menikmati kepelbagaian produk berasaskan akuakultur sekali gus mampu merangsang permintaan pasaran.

Sementara itu, Adnan berkata kerjasama erat antara pengusaha, penternak, komuniti perikanan dan pihak berkepentingan penting dalam usaha memperkasakan sektor perikanan di Perlis.

“Saya yakin dengan penglibatan semua pihak berkepentingan, kita dapat mencapai matlamat bersama dalam membangunkan sektor perikanan, khususnya sektor ternakan akuakultur yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

Pada majlis itu, Khazlita turut menyampaikan cek cura bernilai RM77,040 bagi bantuan Sistem Penyampaian Khidmat Sokogan (SPeKS) akuakultur untuk lapan penternak ikan di Perlis manakala cek cura bernilai RM84,110 bagi SPeKS baka benih untuk tiga penternak.

Khazlita juga menyerahkan cek cura bernilai RM81,890 bagi bantuan SPeKS pengembangan perikanan untuk lima pengusaha serta cek cura bernilai RM81,000 bagi elaun nelayan darat tahun 2024 untuk 27 nelayan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan