POLITIK

PRK NENGGIRI: USAH TERLEKA DENGAN KEMENANGAN - KETUA SAYAP UMNO

22/08/2024 01:33 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan baru-baru ini tidak seharusnya membuatkan UMNO berasa sudah kuat dan selesa.

Perkara itu disuarakan Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada perhimpunan agung sayap masing-masing bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini hari ini.

Berucap di hadapan lebih 1,000 perwakilan, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata  kemenangan itu menggembirakan serta di luar jangka namun ahli usah melupakan sejarah yang menyaksikan parti menang bergaya di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar tetapi kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kejayaan yang kita peroleh ini bukan mudah. Kejayaan ini diraih hasil titik peluh dan lelah. Banyak yang kita boleh pelajari daripada kemenangan ini … berkaitan dengan strategi, pendekatan dan semangat. 

“Ya, kita gembira dengan kemenangan di Nenggiri. Namun, saya ingin mengingatkan kepada semua, jangan lalai dan leka. Jangan lupa diri dan berasa selesa. Jangan ada suara-suara yang merasakan sudah kuat. Jangan ada yang merasakan kita mampu mengubah sokongan sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata Nenggiri menjadi bukti selagi UMNO sanggup berubah dengan kembali berpasak pada fitrah asal usul dan benar-benar menjiwai roh perjuangan, parti ini akan kembali disayangi rakyat.

“Kejayaan Nenggiri ini juga mesti dijadikan pedoman buat semua … bukan menyebabkan kita mendabik dada dan kita boleh sahaja meraikan kemenangan … (tetapi) jangan disebabkan kejayaan ini kita dibuai mimpi,” katanya berucap di hadapan 1,500 perwakilan Pemuda UMNO.

Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi pula berkata kemenangan DUN Nenggiri menjadi titik tolak untuk UMNO terus bangkit namun dalam masa sama tidak boleh sesekali leka dan mendabik dada kerana perjuangan perlu diteruskan.

“Walaupun bermula dengan penghinaan namun perjuangan ini berakhir dengan kemenangan. Kemenangan ini kemenangan berganda dalam semua siri PRK sebelum ini kerana inilah kerusi yang telah bertukar milik dengan jumlah majoriti yang jauh berbeza dengan sebelumnya.

“Kemenangan ini kita syukuri … namun jangan sesekali leka dan terlalu yakin mendabik dada kerana realiti politik sekarang terlalu rapuh dan cepat berubah.Terima kasih saya ucapkan kepada jentera Puteri yang berkampung di Nenggiri sehingga berusaha memenangkan calon parti kita,” katanya.

Pada 17 Ogos lepas, BN berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri selepas calonnya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dengan majoriti besar 3,352 undi menewaskan pencabarnya calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan