AM

KKDW PERKENAL PAVILION KKKDW SEMPENA PROGRAM EKSPLORASI TVET

22/08/2024 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkenalkan Pavilion KKDW sebagai gerbang maklumat teknousahawan sempena Program Eksplorasi TVET bertemakan 'TVET Pilihan Utama Kerjaya' yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mulai hari ini hingga Ahad.

KKDW dalam kenyataan hari ini memaklumkan pavilion ini menyediakan khidmat konsultasi kepada usahawan pemula, maklumat mengenai geran keusahawanan, serta pameran daripada pemain industri TVET.

"Inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha KKDW dalam memperkukuh kesedaran serta minat rakyat Malaysia terhadap bidang TVET yang semakin mendapat tempat di pasaran pekerjaan. 

"Pavilion KKDW di WTCKL ini menawarkan pelbagai peluang kepada pengunjung, termasuk mendapatkan nasihat berkaitan pembiayaan dan geran keusahawanan secara langsung daripada Majlis Amanah Rakyat, Bahagian Pembangunan Usahawan Desa, KKDW, serta Rural Capital Berhad," menurut kenyataan itu. 

Kementerian itu turut memaklumkan pengunjung juga berpeluang meneroka bidang keusahawanan TVET melalui perkongsian daripada pemain industri yang terlibat dalam pavilion ini.

Antara syarikat yang mengambil bahagian termasuk Hexachamp Sdn Bhd yang mempamerkan sistem lampu jalan solar pintar, Lovely Furniture Resources yang menampilkan reka bentuk perabot, serta JOBX Service yang memfokuskan kepada cetakan 3D dan pembuatan papan elektronik.

Selain itu, Rural Capital Berhad juga menyediakan konsultasi Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) yang bertujuan untuk membangunkan usahawan Bumiputera luar bandar dalam pelbagai bidang ekonomi yang berpotensi tinggi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri  Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyampaikan mock cheque SPED kepada tiga usahawan Bumiputera, dalam sesi walkabout di Pavilion KKDW. 

Antara penerima ialah usahawan perkhidmatan pembersihan Abdul Rahman Mohamad Hanif dari Seri Epil Enterprise yang menerima RM250,000 untuk pembelian aset lori Isuzu.

Usahawan automotif Wan Mohd Shahrul Ikram Ab Kadir dari Rich Gate Auto Service menerima RM135,000 untuk pembelian mesin, peralatan, dan papan tanda. Sementara itu, usahawan sektor pelancongan Wan Nawra Mat Nor dari Qasehnawra Legacy Resources menerima RM150,000 untuk pengubahsuaian kontena rumah prefabrikasi jenis A.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut melawat reruai kementerian termasuk Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Luar serta reruai usahawan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan