AM

1,220 PELAJAR TVET MALAYSIA TELAH JALANI LATIHAN DI CHINA

22/08/2024 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Seramai 1,220 pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara ini telah dihantar untuk menjalani latihan di China setakat ini, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Malaysia-China Institute (MCI) Manndzri Nasib.

Beliau berkata mereka dihantar ke republik itu melalui konsep sekolah seni lengkap diri berikutan sebanyak 220 institusi TVET serta industri mahupun syarikat di China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar TVET Malaysia untuk menjalani latihan bagi jangka pendek, sederhana dan panjang.

"Usaha ini sekali gus menjadi 'game changer' atau pengubah keadaan dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia dalam bidang seperti automatif (kenderaan elektrik, kenderaan tenaga boleh diperbaharui, kenderaan autonomi), automasi industri, semikonduktor, Internet benda, kecerdasan buatan, keselamatan siber dan sebagainya.

"Komitmen kerajaan untuk mengantarabangsakan latihan TVET terbukti dalam perkongsian yang diwujudkan dengan institusi asing, pengenalan pensijilan yang diktiraf di peringkat antarabangsa dan penekanan pada program pertukaran silang budaya untuk pelajar TVET," katanya.

Manndzri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) Ke-7 2024 di sini hari ini yang dirasmikan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

MCI yang ditubuhkan pada 11 Sept 2023 merupakan manifestasi usaha ke arah memperkuat hubungan dua hala Malaysia dan China menerusi kerjasama rentas negara antara institusi TVET kedua-dua negara bagi peningkatan bakat kemahiran TVET tempatan di masa depan.

Mengenai majlis konvokesyen berkenaan, Manndzir berkata seramai 200 bakat kemahiran TVET menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam pelbagai bidang dan daripada jumlah itu, seramai 49 pelajar telah menjalani latihan di China dan 20 pelajar akan melanjutkan latihan selama setahun di Universiti Tangshan, China dalam bidang kenderaan elektrik canggih.

Sementara itu, seorang penerima sijil SKM Tahap 3 pada konvokesyen itu Adi Khair Qusyairi, 20, berkata pengalaman selama dua minggu menjalani latihan kemahiran berkaitan automatif di China membuatkan beliau lebih berminat untuk mendalami bidang itu.

"Saya juga telah mendapat tawaran dari Belia Mahir untuk menjalani latihan di Universiti Tangshang selama setahun. Peluang ini akan dimanfaatkan sebaiknya kerana pengalaman dua minggu di China (sebelum ini), saya dapat melihat betapa canggihnya teknologi mereka.

"Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan berusaha menambah pengetahuan dan meningkatkan kemahiran dalam bidang automotif kereta, Insya-Allah," kata pelajar Gemilang Motor Academy (GMA) di Seremban, Negeri Sembilan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan