SUKAN

MITSUKI, SHARIFAH ELSA 'TUTUP BUKU SUKMA' DENGAN EMAS

22/08/2024 03:06 PM

KUCHING, 22 Ogos (Bernama) -- Mitsuki Wei Kang Leong dan Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman melakar kejayaan manis pada penampilan terakhir di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan masing-masing meraih pingat emas tenis perseorangan lelaki dan wanita hari ini.

Pada aksi akhir di Gelanggang Tenis SLTA di sini, Mitsuki yang mewakil Perak mempertahankan kejuarannya dengan mengecewakan rakan sepasukan Daniel Leong Prickett 6-1, 6-4 yang terpaksa berpuas hati dengan perak, manakala gangsa milik Darrshan Suresh Kumar dari Wilayah Persekutuan selepas rakan sepasukan Leroy Nan-Er Yong yang menarik diri ketika set pertama.

Mitsuki ketika ditemui pemberita berkata pemain muda dari negeri lain telah memberikan saingan sengit dan mempunyai kekuatan fizikal yang  baik untuk bersaing di peringkat lebih kompetitif pada masa akan datang.

"Saya berpuas hati dapat menyumbang pingat terakhir pada penampilan kali ini, secara keseluruhan lawan di sini mempunyai masa depan cerah dalam tenis.  Kita dapat lihat ramai pemain muda berbakat dan berharap ia terus berkembang," katanya pemain profesional negara itu.

Mitsuki akan meneruskan cabaran di SUKMA 2024, bergandingan dengan adiknya Shihomi Li Xuan Leong pada peringkat separuh akhir acara beregu campuran hari ini, untuk memburu tiket ke final petang ini.

Sementara itu, Sharifah Elsa, 20, mewakili Selangor membuat kejutan menewaskan pemain pilihan Shihomi dari Perak dengan 6-1, 6-1 dalam satu aksi final perseorangan wanita, manakala pemain Terengganu, Anja Samia Nayar meraikan kemenangan percuma dengan gangsa selepas peserta Wilayah Persekutuan Nao Phang Ziyi menarik diri.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata beliau berpuas hati dengan pingat emas dimenanginya selepas lima kali membuat penampilan di SUKMA walaupun berdepan Shihomi, iaitu lawan lebih kuat.

"Saya tahu Shihomi pemain kuat dari segi fizikal dan mental. Saya memberikan sehabis baik di gelanggang tadi, fokus hanya mahu menang, saya pernah meraih pingat gangsa pada edisi 2016 dan akhirnya misi emas tercapai," katanya.

Sharifah Elsa berkata insentif RM10,000 yang bakal diterimanya kelak akan digunakan untuk membelanja ibu dan bapanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan