EKONOMI

UNTUNG BERSIH BUMI ARMADA MELONJAK KEPADA RM266 JUTA PADA SUKU KEDUA 2024

22/08/2024 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Bumi Armada Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 melonjak kepada RM265.96 juta daripada RM118.77 juta pada suku yang sama 2023.

Hasil turut naik kepada RM578.86 juta daripada RM441.32 juta sebelum itu, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

"Peningkatan dalam hasil disumbangkan oleh bahagian operasi, yang termasuk kapal pemunggahan,  pengeluaran, penyimpanan pengeluaran terapung (FPSO), unit penyelesaian terapung, aset pembinaan bawah laut dan perkhidmatan berkaitan marin," katanya.

Bagi separuh pertama 2024, penyedia pengeluaran dan perkhidmatan sokongan luar pesisir itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM506.50 juta berbanding RM319.78 juta manakala hasil menokok kepada RM1.21 bilion daripada RM985.31 juta.

Ia berkata hasil bagi tahun setakat ini disumbangkan oleh penyelesaian kenaikan yuran operasi Armada Olombendo FPSO.

Sementara itu, dalam satu kenyataan ia berkata aliran tunai yang dijana daripada bahagian operasi pada suku tersebut amat kukuh pada RM619.3 juta ditambah pergerakan modal kerja bersih yang menggalakkan.

Kumpulan itu mencatatkan baki tunai yang teguh berjumlah RM1.214 bilion selepas pembayaran hutang sebanyak US$59 juta pada suku berkenaan.

Setakat 30 Jun 2024, liabiliti bersih semasa sebanyak RM787.3 juta terutamanya disebabkan oleh klasifikasi sukuk murabahah sebanyak RM1.5 bilion dan liabiliti kewangan derivatif sebanyak RM613.8 juta sebagai liabiliti semasa.

Ia berkata sukuk murabahah itu akan dibiayai semula dengan kemudahan pembiayaan dalam tempoh enam tahun sebanyak US$400 juta (RM1.887 bilion).

“Setelah mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia, perjanjian pembiayaan berkaitan telah dimeterai pada 15 Ogos 2024, dan pembiayaan akan dikeluarkan sebelum tarikh tamat sukuk murabahah pada September 2024,” kata Bumi Armada.

Sementara itu, nilai perolehan kontrak bagi suku kedua 2024 berjumlah RM12.1 bilion dengan tambahan pelanjutan pilihan sehingga RM10.9 bilion.

Peningkatan nilai perolehan kontrak berbanding pada suku pertama 2024 disumbangkan Armada Sterling V FPSO yang mencapai penerimaan pada 1 Julai 2024 dan pengesahan tempoh opsyen tahunan pertama kontrak Armada Kraken FPSO.

Mengulas mengenai keputusan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gary Christenson berkata: "Penjanaan tunai kami yang teguh membolehkan kami menambah baik kunci kira-kira kami sambil kami terus meneroka projek baharu yang berpotensi untuk meningkatkan nilai pemegang saham."

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan