EKONOMI

INFLASI MALAYSIA KEKAL 2.0 PERATUS PADA JULAI - PERANGKAAN

22/08/2024 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Inflasi Malaysia kekal 2.0 peratus sejek Mei 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dalam laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Julai 2024.

IHP bagi bulan Julai meningkat kepada 133.1 berbanding 130.5 pada bulan sama tahun lepas.

DoSM dalam satu kenyataan berkata inflasi itu didorong oleh peningkatan dalam kumpulan utama termasuk restoran dan perkhidmatan penginapan (3.4 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.2 peratus); rekreasi, sukan dan budaya (2.2 peratus) dan kesihatan (1.9 peratus).

Makanan dan minuman mencatatkan kenaikan 1.6 peratus yang lebih perlahan berbanding kenaikan dua peratus pada Jun 2024.

"Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain mencatatkan peningkatan 3.2 peratus; pendidikan (1.7 peratus), pengangkutan (1.2 peratus) dan perabot, peralatan rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (0.9 peratus) meningkat pada kadar sama seperti bulan sebelumnya," kata laporan itu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan dalam perkhidmatan restoran dan penginapan disebabkan peningkatan dalam subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.3 peratus pada Julai berbanding Jun 2024 sebanyak 4.2 peratus.

Bagi kenaikan inflasi penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan, melonjak 3.2 peratus pada Julai 2024 berbanding 2.8 peratus pada Jun 2024, ia disebabkan oleh kenaikan 18 peratus dalam barang kemas dan jam tangan (Jun 2024: 15.3 peratus).

Inflasi bulan Julai bagi sektor pengangkutan kekal pada 1.2 peratus pada Jun 2024.

Bagi inflasi peringkat negeri, Mohd Uzir berkata kebanyakan negeri mencatatkan kenaikan di bawah 2.0 peratus inflasi nasional kecuali empat negeri, Pulau Pinang (3.4 peratus), Sarawak (2.7 peratus), Pahang (2.6 peratus) dan Selangor ( 2.4 peratus).

“Kesemua negeri mencatatkan kenaikan inflasi makanan dan minuman yang lebih perlahan dengan kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 3.0 peratus diikuti Pulau Pinang (2.8 peratus), Sarawak (1.9 peratus), Sabah (1.7 peratus), Pahang ( 1.6 peratus) dan Terengganu (1.6 peratus).

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan