EKONOMI

IILM TERBIT TIGA SUKUK BAHARU BERNILAI US$490 JUTA

22/08/2024 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM) berjaya menerbitkan tiga sukuk baharu berjumlah US$490 juta (US$1=RM4.38), menjadikan jumlah sukuk terkumpulnya kepada paras tertinggi sebanyak US$4 bilion.

Menurut IILM dalam kenyataan hari ini, tiga siri sukuk itu berharga kompetitif pada 5.40 peratus bagi US$240 juta untuk tempoh sebulan, 5.20 peratus bagi US$150 juta (tempoh tiga bulan) dan 5.00 peratus bagi US$100 juta (tempoh enam bulan).

“Terbitan sukuk terkini itu menandakan lelongan kesembilan IILM pada tahun ini dan yang kedua pada Ogos,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Safri Shahul Hamid berkata terbitan sukuk baharu itu merupakan pencapaian penting IILM berikutan ia memperluas portfolionya untuk memasukkan aset asas dinilai tinggi baharu buat kali pertama sejak 2020, (dinilai “AA-” di peringkat antarabangsa).

“Ini menjadikan jumlah sukuk terkumpulnya kepada US$4 bilion, merupakan yang tertinggi sejak wujudnya program sukuk IILM pada 2013,” katanya.

Menurut IILM, walaupun ketidaktentuan pasaran terhadap keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan, lelongan itu telah menarik minat peniaga utama dan pelabur dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, Eropah, Asia dan Afrika.

Katanya gabungan nilai perolehan kontrak telah melebihi US$1.06 bilion, menjana purata nisbah bida kepada perlindungan yang menggalakkan sebanyak 217 peratus.

“Setakat ini, IILM telah menerbitkan sukuk berjumlah keseluruhan US$8.38 bilion untuk 27 siri sukuk,” katanya.

Program sukuk jangka pendek IILM mencatatkan penilaian yang kukuh iaitu “A-1” daripada S&P Global Ratings dan “F1” daripada Fitch Ratings.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan