AM

KKR BANTU MELAKA SEGERAKAN KERJA BAIKI JALAN

22/08/2024 04:58 PM

ALOR GAJAH, 22 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya akan terus komited membantu kerajaan Melaka dalam menyegerakan kerja-kerja membaiki jalan Persekutuan di 64 lokasi yang membabitkan peruntukan sebanyak RM31.8juta. 

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ini kerana negeri itu sedang melaksanakan Tahun Melawat Melaka 2024 dan ramai pemimpin negara akan datang ke Melaka  pada mesyuarat Pengerusi ASEAN 2025 nanti. 

“Setakat ini progres kerja-kerja pembaikan adalah 45 masih dalam pembinaan, 15 sudah siap dan selebihnya masih belum dimulakan dengan kebanyakan jenis kerosakan yang dikenal pasti disebabkan mendapan yang mungkin akibat banjir, faktor jalan yang semakin berusia dan laluan dilalui oleh kenderaan lebih muatan. 

"Untuk itu kita akan lakukan kerja-kerja mengukuhkan turapan jalan kerana kita bimbang bila sampai musim tengkujuh, air hujan akan membuatkan kerosakan sedia ada semakin teruk dan membahayakan pengguna jalan raya," katanya kepada media selepas melawat lokasi pembaikan di Lebuh AMJ (FT019) Killometer (KM) 55 Alor Gajah di sini hari ini. 

Beliau berkata bagi kerja pembaikan jalan di KM55 Alor Gajah tersebut, kementerian telah memperuntukan RM1.5 juta dan kerja-kerja pembaikan akan bermula pada minggu pertama September dengan jangkaan siap sebelum Oktober ini.  

"Kita juga berharap akan ada peruntukan tambahan untuk Melaka bagi memastikan kerja-kerja pembaikan di jalan Persekutuan berjalan lebih lancar, terutama apabila negeri ini akan menerima kehadiran pemimpin negara pada 2025 nanti dan ini adalah sebahagian persediaannya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan