EKONOMI

BRICS SOKONG HASRAT PENYERTAAN MALAYSIA - PM ANWAR

22/08/2024 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) – Negara-negara BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) menyokong hasrat Malaysia untuk menyertai perkumpulan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami sangat bertuah kerana mereka (negara anggota BRICS) menyokong permohonan Malaysia walaupun masih belum diputuskan sama ada Malaysia dapat menyertai BRICS,” kata beliau kepada India Today Global dalam satu temu bual eksklusif. 

Temu bual itu diadakan sempena lawatan rasmi beliau selama tiga hari ke India yang berakhir semalam.

Beliau turut memberitahu bahawa Malaysia masih di peringkat awal proses menyertai BRICS dan wakil negara berkenaan akan memuktamadkan penyertaan langsungnya pada Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia.

“Malaysia akan menjadi rakan negara BRICS dahulu sebelum penyertaan penuh dimuktamadkan,” kata beliau. 

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun terdiri daripada Brazil, Rusia, India dan China, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010.

Pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah diterima sebagai anggota baharu.

Sebelum itu, Anwar berkata rakan sejawat, Narendra Modi bersetuju untuk menyokong keputusan negara menyertai perkumpulan tersebut, mengukuhkan kerjasama yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.

Pada 18 Jun, Anwar mengesahkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva.

Mengenai kerjasama antara Malaysia dan India, Anwar berkata Malaysia telah memberikan keutamaan kepada usaha untuk memperkukuh kerjasama dengan India terutamanya dalam bidang minyak sawit dan sektor yang sedang berkembang seperti pendigitalan dan teknologi.

Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk menyokong usaha India meningkatkan pengeluaran minyak sawitnya.

“India mempunyai pandangan yang bebas dan profesional mengenai minyak sawit dan beberapa syarikat telah menjalankan kajian mereka untuk mempertahankan kedudukan mereka (berkaitan minyak sawit),” kata beliau. 

Ditanya mengenai kelebihan Malaysia sebagai pelopor dalam industri semikonduktor, Perdana Menteri berkata: “Kami mempunyai kelebihan sebagai pelopor dalam industri semikonduktor dan kami telah membina ekosistem di Pulau Pinang.” 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan