EKONOMI

PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA MAMPU MELEBIHI SASARAN 5.0 PERATUS PADA 2024 - MIER

22/08/2024 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, mencapai sasaran 5.0 peratus atau lebih pada 2024, menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Dalam semakan ekonomi bulanannya untuk Julai 2024, MIER berkata pertumbuhan itu akan didorong oleh kestabilan politik, asas-asas makro, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan yang direalisasikan.

Selain itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang berkembang juga akan dirangsang oleh pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan, disokong oleh permintaan domestik dan ketibaan pelancong; pembinaan dan infrastruktur; eksport; pendapatan korporat yang sihat; pasaran buruh; ringgit yang lebih kukuh dan pembaharuan serta inisiatif di bawah pelan-pelan induk negara.

 “Permintaan dalam negeri pada 2024 diunjur berkembang sekitar 6.0 peratus tahun ke tahun (y-o-y), disokong oleh perbelanjaan swasta (6.1 peratus) dan perbelanjaan awam (5.7 peratus), manakala eksport dijangka berkembang pada 8.0 peratus tahun ke tahun.

“Pertumbuhan ekonomi juga akan disokong oleh sektor perkhidmatan (5.3 peratus), pembuatan (4.1 peratus), pembinaan (12.8 peratus), pertanian (3.7 peratus) dan perlombongan (2.8 peratus),” katanya.

MIER berkata dalam hal ini kos pinjaman juga harus kekal stabil, sambil menambah kadar dasar semalaman (OPR) dijangka kekal pada 3.0 peratus sepanjang 2024.

Ia berkata Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memberi tumpuan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi sambil berwaspada terhadap inflasi.

"Walaupun inflasi stabil pada separuh pertama 2024, ia boleh meningkat pada separuh kedua 2024 yang berpunca daripada kejutan domestik dan luaran, tetapi ia sepatutnya kekal pada tahap yang boleh diurus," katanya.

MIER juga menyatakan minat pelabur asing terhadap ekuiti tempatan telah meningkat, sambil menambah momentum itu dijangka berterusan pada separuh kedua 2024 dan mungkin berlanjutan sehingga 2025.

Sementara itu, permintaan untuk bon domestik dijangka kekal kukuh pada separuh kedua 2024.

“Selain daripada kemungkinan pemotongan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, faktor-faktor seperti prospek ringgit yang lebih kukuh, asas-asas makro domestik yang sihat, hala tuju dasar yang jelas daripada kerangka Ekonomi MADANI dan pengesahan semula penarafan kredit berdaulat Malaysia oleh S&P dan Fitch akan terus memberi daya tarikan kepada pelabur asing.

“Pada masa yang sama penarafan yang berpotensi meningkat pada 2025 adalah tidak mustahil, dicetuskan oleh pengukuhan fiskal, tadbir urus yang lebih baik, asas-asas ekonomi yang kukuh dan kewangan awam termasuk nisbah hutang Persekutuan kepada KDNK,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan