AM

MAYAT LELAKI DITEMUKAN DI PERAIRAN TELUK BAHANG

22/08/2024 08:07 PM

GEORGE TOWN, 22 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menemukan mayat seorang lelaki di 8.9 batu nautika barat laut Teluk Bahang dekat sini, semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Razali Kasim berkata bot peronda APMM yang sedang menjalankan operasi menjumpai mayat itu dalam keadaan terapung dan tanpa sebarang identiti pada 2.45 petang.

"Bertindak atas maklumat itu, sebuah lagi bot ronda APMM telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi membantu proses pengambilan mayat tersebut sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat dihantar ke hospital untuk dibedah siasat dan orang ramai diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam NG999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan