DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI

22/08/2024 10:07 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini dengan kontrak penanda aras November meningkat melebihi paras RM3,800 satu tan.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata peningkatan itu didorong oleh pengeluaran komoditi berkenaan yang lebih perlahan daripada jangkaan manakala harga minyak soya yang kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) pada waktu Asia turut membantu meningkatkan sentimen.

"Kami turut mengesan paras sokongan pada RM3,750 satu tan dan paras rintangan pada RM3,900 satu tan," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak penanda aras MSM bagi November 2024 naik RM72 kepada RM3,826 satu tan.

Penganalisis kanan Fastmarkets Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM berakhir lebih tinggi hari ini, paras tertinggi dalam sehari bagi tempoh 36 hari, didorong oleh optimisme terhadap permintaan eksport MSM Malaysia berikutan berita mengenai rancangan peningkatan biodiesel Indonesia kepada B40 daripada B35. 

Hari ini, dilaporkan bahawa Indonesia merancang untuk melaksanakan 40 peratus campuran mandatori biodiesel berasaskan minyak sawit bermula dari 1 Jan, 2025, berbanding 35 peratus campuran mandatori semasa yang dikenali sebagai B35.

 Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2024 naik RM40 kepada RM3,928 satu tan, Oktober 2024 menokok RM63 kepada RM3,868 satu tan dan Disember 2024 meningkat RM79 kepada RM3,814 satu tan.

Kontrak Januari 2025 menokok RM81 kepada RM3,808 satu tan dan Februari 2025 melonjak RM82 kepada RM3,800 satu tan.

Jumlah dagangan naik kepada 95,069 lot daripada 64,853 lot semalam, manakala kepentingan terbuka turun kepada 221,143 kontrak daripada 222,870 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan naik RM10 kepada RM3,950 satu tan.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan