SUKAN

WILAYAH PERSEKUTUAN PENCABAR TERDEKAT SARAWAK BURU JUARA SUKMA 2024

22/08/2024 11:32 PM

KUCHING, 22 Ogos (Bernama) -- Hasrat Sarawak untuk muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 terus mendapat tentangan sengit daripada Wilayah Persekutuan selepas 358 daripada keseluruhan 488 pingat emas dipertandingkan setakat ini.

Berbaki dua hari lagi sebelum temasya menutup tirai, Wilayah Persekutuan semakin merapatkan jurang apabila kedua-dua kontinjen itu hanya dipisahkan dengan tujuh pingat emas berbanding 10 sebelumnya.

Tuan rumah kekal di persada carta pingat dengan kutipan 62 emas, 45 perak dan 52 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan (55-47-59), Selangor (40-48-35) dan Terengganu (34-29-37) manakala juara bertahan Johor berada di kedudukan kelima (27-31-45). 

Gambaran mengenai juara keseluruhan mungkin lebih jelas esok, apabila 82 pingat emas menjadi taruhan termasuk final bola sepak wanita antara Sabah dan Selangor yang ditangguhkan malam ini kerana hujan lebat.

Ia merupakan jumlah tertinggi ditawarkan dalam satu hari bagi SUKMA 2024, manakala baki 45 pingat emas akan dipertandingkan pada hari terakhir, Sabtu ini.

Acara silat yang berlangsung di Stadium Bandar Miri menjadi tumpuan dengan 20 pingat emas ditawarkan dalam kategori tempur sebelum sukan seni bela diri itu menutup tirai, esok.

Sementara itu, rekod kebangsaan pertama dalam sukan olahraga akhirnya dileburkan pada hari keempat saingan berlangsung. 

Atlet pelapis kebangsaan Muhammad Fakrul Afizul Nasir dari Kelantan mencatatkan 51.11 saat (s) dalam acara 400 meter (m) lari berpagar lelaki, memadam rekod miliknya 51.26s yang dilakukan tahun lepas, selain turut memperbaharui rekod temasya  20 tahun, milik Mohd Zafril Mohd Zuslaini (51.79s) dari Pahang dilakukan pada 2004 di Negeri Sembilan.

Kolam renang juga meneruskan momentum penciptaan rekod, apabila empat catatan masa temasya diperbaharui hari ini, iaitu bagi acara 200m dan 400m gaya bebas, 100m kuak kupu-kupu, serta 4x200m gaya bebas lelaki.

Pasukan ragbi Johor pula menamatkan penantian 30 tahun untuk emas acara tujuh sebelah (7s) lelaki SUKMA dengan membelasah Terengganu 29-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Miri.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan