AM

KENAIKAN GAJI BUKAN ALASAN UNTUK BERBELANJA 'SAKAN'

23/08/2024 08:30 AM

Oleh Norhayati Mohd Akhir & Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Di sebalik keterujaan menanti 'angka baharu' pada penyata gaji Disember ini, penjawat awam diingatkan untuk terus membudayakan amalan berjimat cermat dan mengelak perbelanjaan tidak perlu.

Berkongsi pandangan itu, Mohd Khusairi Harun, 43, berkata peningkatan gaji bukan tiket untuk berbelanja sewenang-wenangnya tanpa perlu mengambil kira keperluan menabung khususnya sebagai persediaan situasi kecemasan.

Mohd Khusairi yang telah 18 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam berkata perbelanjaan untuk sesuatu yang tidak perlu, haruslah dielakkan kerana tindakan itu berisiko menjerat hutang baharu.

"Sebagai contoh, semasa kedengaran desas-desus gaji akan naik, sudah ada iklan-iklan kereta di media sosial menawarkan promosi menarik. Kita kena bijak dan jika kereta sedia ada masih elok, lebih baik terus digunakan.

"Amalan menabung perlu selain kena terus berjimat walaupun gaji akan naik menerusi dua fasa bermula Disember ini, kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan," katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam yang akan dilaksanakan menerusi dua fasa bermula 1 Dis ini manakala fasa kedua pada 1 Jan 2026.

Mohd Khusairi turut berharap peningkatan itu tidak membawa implikasi kepada harga barangan keperluan kerana ia akan membebankan semua golongan termasuk pekerja sektor swasta.

Senada, Nur Dini Ayob, 41, berkata sikap berjimat cermat dan bijak berbelanja serta menguruskan kewangan dengan baik perlu menjadi amalan semua lapisan masyarakat supaya 'tidak tersilap langkah'.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran yang telah 14 tahun berkhidmat itu berkata beliau menerima beberapa promosi seperti kereta dan perkhidmatan ubah suai rumah, namun memutuskan untuk tidak menerimanya. 

"Saya sudah ada kereta dan rumah pula tak perlu untuk dilakukan ubah suai kerana semuanya masih baik. Tambahan pula, gaji saya juga tidak terlalu besar dan saya berharap dapat terus istiqamah dalam mengurus kewangan,” katanya. 

Ibu kepada seorang anak lelaki itu berkata beliau bukan bertujuan menyekat kemahuan diri, sebaliknya mahu mengamalkan pengurusan kewangan yang baik iaitu mendahulukan keutamaan dan kepentingan keluarga.

Sementara itu, pembantu tadbir sebuah kementerian, Syukri Ibrahim, 33, berkata kenaikan itu mengurangkan beban kewangannya dan membolehkan beliau menabung. 

Beliau yang telah tujuh tahun berkhidmat berharap dapat membawa keluarga melancong dalam negara, yang sebelum ini agak terbatas untuk dilakukannya kerana kekangan kewangan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur atas pengumuman kenaikan gaji ini kerana boleh mengurangkan sedikit bebanan kewangan keluarga saya," kata bapa kepada dua anak itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan