AM

HAMPIR 15,000 DAPAT MANFAAT MELALUI TVET JELITA, BANTU WANITA JANA PENDAPATAN - NORAINI

23/08/2024 10:24 AM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Hampir 15,000 wanita telah mendapat latihan dan manfaat menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk kaum hawa yang dikenali sebagai Jelita (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement), sejak setahun ia dilancarkan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program TVET Jelita, yang diilhamkan menerusi Perhimpunan Agung UMNO 2023 lepas, mendapat permintaan yang sangat tinggi dan memberansangkan. 

“Maklum balas yang kami terima sangat menggalakkan dan permintaan untuk sertai latihan ini begitu tinggi, kita latih 20 hingga 30 orang setiap sesi di pelbagai lokasi bagi membolehkan mereka betul-betul dapat kemahiran yang boleh membantu meningkatkan pendapatan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata demikian dalam temu bual dengan Bernama bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2024. 

Program TVET Jelita yang dilancarkan Ogos tahun lepas merupakan game-changer yang didedikasikan khas untuk memperkasakan golongan wanita di negara ini melalui pendidikan dan latihan kemahiran, diterajui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Program yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu menawarkan bidang latihan selama tiga hari hingga enam bulan seperti bidang teknologi maklumat, kejuruteraan, kecantikan dan fesyen serta pengangkutan dan logistik di samping turut menyediakan sokongan selepas latihan.

Selain 74 rakan strategik, Kolej Universiti Agrosains Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka dipertanggungjawabkan sebagai penyelia latihan serta fasilitator untuk menyediakan tenaga mahir berkualiti dalam kalangan wanita.

Noraini berkata beliau amat bangga melihat kejayaan demi kejayaan yang dicapai wanita menerusi program itu, dengan ada usahawan yang berjaya meningkatkan pendapatan daripada RM200 kepada RM1,000 sebulan, hanya dengan menjual karipap secara separuh masa.

Beliau berkata ada juga usahawan RISDA yang berjaya memperoleh pendapatan mencecah RM10,000 sebulan  di sebalik keperitan dan kepayahan mereka bergelar ibu tunggal, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada golongan wanita lain yang kurang berkemampuan. 

“Selepas habis latihan TVET Jelita kita hendak mereka mulakan perniagaan, sebab itu ada barang-barang yang akan kita bagi sesuai dengan perniagaan mereka, tapi pemantauan kita buat selepas enam bulan kalau masih kurang berjaya kita akan hantar orang untuk bantu,” katanya.

Noraini berkata kementeriannya turut membantu golongan wanita menerusi WanitaBangkit@KPWKM yang menyasarkan suri rumah dan ibu tunggal untuk menjana pendapatan dengan mengoptimumkan potensi individu berdasarkan bidang kemahiran mereka.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan