POLITIK

UMNO HARAP KEMBALI JADI PARTI DOMINAN, BEBAS PILIH RAKAN KONGSI POLITIK - AHMAD ZAHID

23/08/2024 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- UMNO berharap untuk kembali menjadi parti dominan dan bebas memilih mana-mana parti untuk menjadi rakan kongsi politik yang dapat menerima agenda parti dalam pemerkasaan Islam dan Melayu.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, namun parti itu tidak pernah disekat untuk memasang cita-cita besar berkenaan.

“Kita berhak kembali dominan dengan jalan yang kita pilih sendiri. Kita dengan cara kita. Pendirian ini juga bagi menjamin rakyat tidak diperjudikan dengan politik emosi atau sentimen yang merugikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di hadapan lebih 6,000 perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup serta pimpinan parti Friends of Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dan Timbalan Perdana Menteri berkata usaha untuk memastikan agar UMNO terus dominan dalam menguasai dan mempunyai pelbagai kelebihan, amat penting.

Beliau berkata dominan yang dimaksudkan UMNO turut meliputi dari segi kedudukan kerusi dan kedudukan perundingan sekiranya keadaan memerlukan perkongsian kuasa. 

“UMNO mesti keluar dari “echo chamber” dan zon selesa. Kita mesti berani berdepan dengan idea-idea baharu dan perspektif yang beragam, agar kita tetap relevan dalam landskap politik yang semakin kompleks.

“Jangan kita ingat, kita dominan seperti dahulu lagi. Jangan terbuai dengan fitnah dan tohmah pihak lawan sehingga kita menanam kesangsian sesama sendiri. Jangan leka dengan sedikit kuasa yang ada sehingga kita lupa akan tugas memperkuatkan parti,” katanya. 

Dalam ucapan hampir satu jam setengah itu, Ahmad Zahid turut menegaskan seandainya perjuangan agenda Melayu dan martabat Islam dipersenda dalam kerjasama dengan mana-mana parti, UMNO tidak akan teragak-agak untuk menghentikan kerjasama berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata bagi memperkukuhkan agenda perkongsian kuasa berindukan Melayu dan Islam, UMNO akan menjalankan usaha secara besar-besaran, menyatukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu sebagai satu gerakan dinamakan Rumpun Melayu. 

Presiden UMNO itu berkata apa pun keputusan yang ambil, UMNO tidak sesekali akan menggadai maruah dan masa depan parti.

“Saya tidak akan menjadi pengkhianat atau merelakan mana-mana pihak, menjadikan parti keramat ini sebagai bahan dagangan. UMNO perlu lebih strategik dalam semua pendekatannya. Dalam senario politik semasa yang bergerak pantas dan berdaya saing ini, kita tidak boleh selesa dengan cara lama,” katanya.

Menyentuh mengenai bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahmad Zahid berkata perjuangan UMNO dalam membela nasib bekas presiden parti itu tidak pernah terhenti.

“Walau ada yang mempertikaikan ikrar afidavit berhubung Titah Adendum, yang diikrarkan oleh saya dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai pelaksanaan baki hukuman Datuk Seri Najib menerusi tahanan rumah, ia adalah bukti komitmen kita tidak pernah goyah,” katanya.

Najib, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan