EKONOMI

PELABURAN AWS DI MALAYSIA BUKTI KEYAKINAN TERHADAP EKONOMI MADANI- PM ANWAR

23/08/2024 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Pelaburan jangka panjang oleh Amazon Web Services (AWS), anak syarikat Amazon.com Inc, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan dasar Ekonomi MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui akaun media sosial X beliau, Anwar mengalu-alukan AWS ke Malaysia serta negara teruja dengan potensi pelaburan baharu ini dan inovasi daripada pemindahan dan pembelajaran teknologi.

Semalam, AWS melancarkan wilayah infrastruktur AWS Wilayah Asia Pasifik (Malaysia) dan merancang pelaburan kira-kira US$6.2 bilion (kira-kira RM29.2 bilion) di Malaysia sehingga 2038.

Menurut syarikat itu dalam kenyataan, pemaju, syarikat pemula niaga, usahawan, perusahaan, kerajaan, pendidikan dan pertubuhan bukan berkeuntungan akan mempunyai pilihan lebih luas dalam mengendalikan aplikasi selain berkhidmat kepada pengguna dari pusat data AWS di Malaysia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pelaburan AWS merupakan antara pelaburan terbesar yang dibuat oleh syarikat teknologi global di Malaysia.

“Ini susulan beberapa pelaburan lain yang telah diumumkan sejak Disember 2023 oleh peneraju teknologi global seperti NVIDIA, Google, Microsoft, Infineon dan banyak lagi.

“Pelaburan ini adalah pengiktirafan terhadap kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan MADANI dalam mewujudkan dan merangka persekitaran pelaburan yang menarik, terbuka dan telus,” kata beliau.

Sebagai sebahagian daripada hubungan baharu ini, Anwar berkata AWS telah menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Awan dengan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan teknologi awan dalam sektor awam.

Daripada pengumuman oleh AWS, beliau berkata syarikat teknologi awan global itu akan melabur dalam pembinaan pusat data fizikal di Malaysia, menjadikan negara antara 34 wilayah dalam peta infrastruktur global Amazon.

“Lebih 3,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia akan diwujudkan secara langsung daripada pembinaan pusat data baharu ini. 

“Pekerjaan ini yang merangkumi bidang pembinaan, penyelenggaraan, kejuruteraan, telekomunikasi dan bidang lain dalam ekonomi kita, akan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan bernilai tinggi AWS,” kata beliau.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan