EKONOMI

UNTUNG BERSIH SUKU KEDUA MISC NAIK KEPADA RM540.90 JUTA

23/08/2024 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih MISC Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 meningkat kepada RM540.90 juta daripada RM452.90 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil bagi suku tersebut bagaimanapun susut 6.2 peratus kepada RM3.33 bilion daripada RM3.55 bilion sebelum itu, disebabkan pengiktirafan hasil yang lebih rendah daripada segmen aset dan penyelesaian gas, segmen perniagaan luar pesisir serta segmen kejuruteraan marin dan berat.

Keuntungan operasi kumpulan untuk suku semasa ialah RM792.2 juta, peningkatan sebanyak RM260.9 juta, atau 49.1 peratus, berbanding RM531.3 juta daripada suku yang sama pada tahun sebelumnya.

 Bagi separuh pertama 2024, MISC mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM1.30 bilion berbanding RM1.06 bilion manakala hasil meningkat 5.1 peratus kepada RM6.97 bilion daripada RM6.63 bilion sebelumnya.

Keuntungan bersih yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya oleh hasil daripada projek kejuruteraan berat yang berterusan dan kadar tambang muatan yang lebih tinggi serta pendapatan dalam segmen penghantaran petroleum dan produk.

"Peningkatan hasil kumpulan bagaimanapun, diimbangi oleh pengiktirafan hasil yang lebih rendah daripada penukaran unit pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung (FPSO) berikutan kemajuan projek yang lebih rendah dalam tempoh semasa," katanya.

Mengenai prospek, MISC berkata segmen aset dan penyelesaian gas berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan pendapatan operasinya yang stabil, disokong oleh portfolio penyewaan jangka panjangnya yang berdaya tahan.

Sementara itu, segmen marin dan kejuruteraan berat akan terus berusaha untuk mengurangkan risiko yang timbul daripada gangguan rantaian bekalan dan turun naik harga, yang dijangka berterusan memandangkan landskap geopolitik yang tidak dapat diramalkan.

Perbelanjaan modal huluan global kekal stabil di tengah-tengah harga minyak yang kukuh, sekali gus memberi petanda baik untuk segmen perniagaan luar pesisir, kata MISC.

“Permintaan untuk FPSO baharu dijangka kekal teguh pada tahun-tahun akan datang, didorong oleh projek di Amerika Selatan, Afrika Barat dan rantau Asia Pasifik, bersama-sama dengan jangkaan pertumbuhan stabil dalam permintaan minyak global,” katanya.

Lembaga pengarah meluluskan dividen kedua dikecualikan cukai sebanyak 8.0 sen sesaham untuk tahun kewangan 2024 berjumlah RM357.1 juta.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan