DUNIA

FBM KLCI DIJANGKA DINIAGAKAN ANTARA 1,640 DAN 1,670 MINGGU DEPAN BERDASARKAN PROSPEK EKONOMI POSITIF

24/08/2024 11:18 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam julat 1,640 hingga 1,670 minggu depan, dengan trend keseluruhan kekal positif berikutan prospek ekonomi yang menggalakkan, pendapatan korporat yang lebih baik, ringgit yang kukuh dan minat daripada pelabur luar yang meningkat.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata petunjuk makroekonomi terkini (dari Amerika Syarikat) menunjukkan potensi trajektori meningkat untuk FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

“Jangkaan pasaran untuk penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS pada September diperkukuhkan oleh beberapa data yang dikeluarkan menunjukkan kepada peralihan dalam dasar monetari.

“Ini terutamanya, tuntutan pengangguran mingguan, Indeks Pengurus Pembelian awal dan angka inflasi pada Julai yang berada di bawah anggaran konsensus, memberikan bukti kukuh untuk pendirian yang lebih akomodatif daripada Fed.

“Apabila pelabur mula mengambil kira kemungkinan penurunan kadar faedah, pulangan ke atas simpanan tradisional dan pelaburan pendapatan tetap seperti bon, cenderung untuk berkurangan,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Mohd Sedek berkata pelabur yang mencari hasil yang lebih tinggi dijangka akan beralih ke rantau Asia Pasifik, dengan Malaysia terutamanya akan mendapat manfaat daripada aliran masuk asing yang meningkat ke dalam pasaran modal dan hutang.

“Corak ini telah terbukti pada minggu lepas (sejak 13 Ogos hingga sekarang) dan kami menjangka trend ini akan berterusan.

“Berdasarkan prospek ekonomi yang menggalakkan, pendapatan yang lebih baik, ringgit yang kukuh dan minat daripada pelabur luar yang meningkat, kami percaya saham berkaitan pelaburan pusat data, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan sektor kewangan perlu diberi tumpuan sebagai peluang utama terutamanya dalam menjangkakan penurunan kadar faedah oleh Fed,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan.

“Dari aspek teknikal, indeks petunjuk pasaran terus mencatatkan kenaikan, melepasi paras 1,637 buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun pada Isnin. Bagaimanapun, akan terdapat aktiviti pengambilan untung berikutan lonjakan baru-baru ini.

“Kami menjangka dagangan yang tidak menentu pada masa akan datang dengan konsolidasi dijangka berterusan berikutan kekurangan pemangkin baharu,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 11.84 mata kepada 1,635.74 daripada 1,623.90 minggu lepas. 

Pada 19 Ogos, Bursa Malaysia mencapai paras tertinggi dalam tempoh 44 bulan tetapi kemudian mencatatkan penurunan berikutan aktiviti pengambilan untung dalam sektor utama dan petunjuk negatif daripada Wall Street.

Ia meningkat semula dalam jangka masa pendek berikutan optimisme daripada laporan pendapatan tetapi mengakhiri minggu ini dengan mencatatkan dagangan rendah susulan berhati-hati menjelang ucapan daripada Fed di Simposium Jackson Hole.

Di papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas merosot 1.32 mata kepada 12,333.81, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 139.99 mata kepada 12,262.05, Indeks FBM 70 susut 129.22 mata kepada 17,714.43 dan Indeks FBM ACE jatuh 183.29 mata kepada 5,215.69.

Sementara itu, Indeks FBMT 100 naik 37.35 mata kepada 12,013.44.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 600.93 mata kepada 19,020.65, Indeks Perladangan meningkat 16.17 mata kepada 7,200.17 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 2.19 mata kepada 181.60 dan Indeks Tenaga susut 30.57 mata kepada 921.53.

Bagi minggu baru berakhir, jumlah dagangan naik kepada 18.63 bilion unit bernilai RM17.64 bilion daripada 17.67 bilion unit bernilai RM13.44 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 10.21 bilion saham bernilai RM16.06 bilion daripada 9.89 bilion saham bernilai RM11.85 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 5.63 bilion unit bernilai RM650.47 juta daripada 5.21 bilion unit bernilai RM680.11 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 2.76 bilion saham bernilai RM932.47 juta daripada 2.55 bilion saham bernilai RM907.09 bilion sebelum ini.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan