EKONOMI

KERANGKA KERJA AIGE DILANCARKAN PADA SEPTEMBER - MOSTI

24/08/2024 02:57 PM

SEGAMAT, 24 Ogos (Bernama) -- Kerangka kerja bagi pembangunan dan pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) atau Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) akan dilancarkan pada 19 Sept depan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata pelancaran AIGE di bawah seliaan MOSTI itu akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kerangka berkenaan akan memperincikan garis panduan serta peraturan yang perlu dipatuhi pihak berkepentingan dalam semua sektor.

"Untuk kawal selia kami memang sudah pun menyediakan satu draf iaitu AIGE  bagi kita mengawal selia penggunaan teknologi AI dan telah di peringkat terakhir," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Kampung Angkat MADANI MOSTI 2024 di Masjid Jamek Kampung Tekam Pogoh 3 di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat banyak aduan pelbagai pihak berkaitan penyalahgunaan AI yang dilakukan pelbagai pihak termasuk "scammer" untuk mengaut keuntungan dengan cara manipulasi.

"Memang ada banyak (aduan), ada yang disalahgunakan oleh 'scammer' dan dia juga ada beberapa kesan negatif kepada masyarakat dan itu sebabnya penting untuk kita ada satu kerangka kerja bagi memastikan teknologi ini dikawal selia dengan baik," katanya.

Pada Jun lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata kerajaan mengiktiraf keperluan untuk mewujudkan sebuah kerangka kerja kawal selia bagi menangani cabaran-cabaran etika dalam teknologi AI.

AIGE yang diselia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) penting dalam memberikan kerangka yang menekankan tanggungjawab semua pihak dalam penggunaan AI.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan