BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 POLITIK

PRK DUN MAHKOTA: BN GUNA PENDEKATAN HIBRID, GABUNG JENTERA BERSAMA PARTI KERAJAAN PERPADUAN

24/08/2024 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan hibrid dengan menggabungkan jentera parti itu bersama parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana demografi di kawasan itu yang mempunyai 66,000 pengundi, terdiri daripada pelbagai kaum dan segmen. 

“Oleh kerana terdapat kira-kira 35 peratus daripada 66,000 pengundi di Mahkota itu terdiri daripada pengundi keturunan Cina, jadi kita menyantuni semua parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan untuk memobilisasikan jentera yang ada.

“Untuk itu ada segmen tertentu yang kita beri kepada DAP dan ada segmen yang lain kita beri kepada MCA. Begitu juga terdapat lebih kurang 8,000 pengundi India dan ini kita minta MIC untuk gerakkan jenteranya bersama dengan kepimpinan dan ahli India dalam PKR, dan kita benar-benar lakukan pendekatan hibrid,” katanya selepas melakukan tinjauan program Eksplorasi TVET @WTC di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita menjawab soalan mengenai kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mahu BN mengutamakan dan mendahulukan komponen parti itu dalam sebarang keputusan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, penyandangnya Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Tagiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).

Sementara itu, ditanya sama ada UMNO bersedia mempertimbangkan untuk menarik balik penggantungan keahlian bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahmad Zahid berkata perkara itu akan dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengerusi dan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO untuk diputuskan.

Pada Okt 2022, Tajuddin digantung keahliannya selama enam tahun oleh UMNO kerana membuat kritikan terbuka terhadap parti.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan