BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 DUNIA

PAMERAN "SPIRIT OF NOMADS: BORDERLESS HORIZONS" DIBUKA DI ASTANA

24/08/2024 06:10 PM

ASTANA, 24 Ogos (Bernama-Kazinform) -- Menjelang Sukan Nomad Dunia Kelima di Astana, penduduk dan pengunjung ke ibu negara Kazakhstan dijemput untuk menikmati pameran foto bertajuk “Spirit of Nomads: Borderless Horizons."

Menurut agensi berita nasional negara itu Kazinform, pameran berkenaan menampilkan gambar unik hasil karya jurugambar Kazakhstan, Anzor Gassayev dan Alexander Kuznetsov, serta jurugambar British Conor MacNeil dan jurugambar Hungary Sandor Karachon.

Diplomat, pempengaruh dan pencinta seni mengambil bahagian dalam majlis perasmian pameran itu yang menawarkan pengunjungnya menikmati landskap dan potret yang megah selain menyelami dunia kehidupan nomad yang digambarkan melalui gambar menarik dari bahagian lain di dunia.

Para tetamu juga berpeluang melihat projek eko inovatif yang menampilkan yurt Kazakh dan produk unik yang diperbuat daripada felt dan bulu, yang menggabungkan teknologi tradisional dan moden.

Sukan Nomad Dunia Kelima, acara sukan antarabangsa yang mempamerkan sukan tradisional yang berakar umbi dalam tradisi masyarakat nomad Asia Tengah akan diadakan di Astana dari 8 hingga 13 September.

-- BERNAMA-KAZINFORM

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan