EKONOMI

MATRADE BUKA PEJABAT DI KARACHI - TENGKU ZAFRUL

25/08/2024 12:04 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 25 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan membuka pejabat di Karachi, Pakistan, sebagai sebahagian daripada tumpuan Malaysia yang semakin meningkat terhadap pasaran sedang pesat membangun.

Dalam bidang pertumbuhan utama, Malaysia merancang untuk meningkatkan perdagangan dengan Afrika Selatan, Libya, Mesir dan negara-negara Amerika Latin, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kepada Bernama.

MATRADE mempunyai 49 pejabat di seluruh dunia, dengan yang terkini dilancarkan di Singapura pada tahun ini. Agensi penggalakan perdagangan itu juga telah menaik taraf pejabatnya di Kaherah dan Paris.

Pejabat MATRADE di Karachi akan dibuka tidak lama lagi, kata Tengku Zafrul.

Karachi ialah hab komersial dan perkapalan utama Pakistan.

Perdagangan Malaysia-Pakistan bernilai US$1.4 bilion (US$1=RM4.372) pada 2023 dan telah melepasi US$1 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024, berdasarkan angka MATRADE.

Industri halal yang berkembang pesat menjadi bidang utama untuk potensi kerjasama antara Pakistan dan Malaysia, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad Datuk Mohammad Azhar Mazlan pada awal tahun ini. 

Pada masa ini, eksport Malaysia dalam sektor halal dianggarkan berjumlah US$7.65 bilion.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan