AM

KAPAL TLDM KD PENDEKAR TERKANDAS DI TANJUNG PENYUSOP AKIBAT KEBOCORAN, KEBANJIRAN BESAR

25/08/2024 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kapal Diraja (KD) Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengalami kebocoran dan kebanjiran besar ketika melaksanakan penugasan operasi di kedudukan dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor.

TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kebocoran dipercayai berlaku apabila kapal yang mula ditauliahkan pada 1979 itu terlanggar objek bawah air.

“Kebocoran mula dikesan di bilik jentera kapal sebelum merebak dengan cepat dan keadaan menjadi tidak terkawal. Bagaimanapun, semua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.

“Fokus utama TLDM sekarang adalah untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenal pasti punca kejadian.

Difahamkan insiden itu berlaku pada kira-kira 12 tengah hari tadi dan ketika kejadian, 39 kru sedang bertugas.

TLDM turut merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan dalam insiden berkenaan iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan komuniti maritim yang berada di kawasan berhampiran.

Orang ramai dinasihat agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu dan diminta merujuk kepada sumber rasmi TLDM untuk perkembangan terkini serta maklumat sebenar.

Menurut laman sesawang Pusat Strategi Maritim TLDM (PUSMAS), KD Pendekar yang merupakan kapal perang jenis pembinasa laju, telah dibina oleh Karlskrona Varvet Shipyard di Sweden dan dilancarkan pada 11 Nov 1978 sebelum ditauliahkan pada 27 Julai 1979.

Pada awalnya, ia diletakkan dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju (Misil) Kedua sebelum diserap ke Skuadron Kapal Pembinasa Laju Pertama di bawah Flotila Ronda.

KD Pendekar berukuran panjang 43.62 meter dan lebar 7.1 meter.

Gambar dan video insiden itu, yang tular di media sosial, memaparkan usaha memindahkan kru serta keadaan terkini KD Pendekar.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan