DUNIA

KETUA PBB SUARAKAN KEBIMBANGAN SELEPAS HIZBULLAH, ISRAEL BERBALAS SERANGAN

26/08/2024 09:47 AM

WASHINGTON, 26 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung pertempuran sengit merentasi sempadan antara Israel dan Hizbullah sepanjang malam, menurut kenyataan jurucakapnya pada Ahad.

“Tindakan ini membahayakan nyawa penduduk serta menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.

"Setiausaha Agung menggesa untuk meredakan ketegangan dan menyeru pihak-pihak terlibat segera melaksanakan Resolusi 1701 (2006) serta menghentikan segala bentuk permusuhan,” kata Stephane Dujarric.

Pejuang Hizbullah melancarkan lebih 320 roket ke arah kedudukan tentera Israel, menurut kenyataan pergerakan Lubnan itu pada Ahad.

Terdahulu, Hizbullah mengumumkan serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di pinggir selatan Beirut yang mengakibatkan kematian komander kanan mereka, Fuad Shukr.

Peningkatan ketegangan ini berlaku di tengah-tengah serangan besar-besaran Israel di Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 40,300 rakyat Palestin sejak 7 Oktober lalu.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan