DUNIA

PELAN STRATEGIK MAJLIS KOMUNITI SOSIO BUDAYA ASEAN PASCA-2025 BERJALAN LANCAR

26/08/2024 02:10 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 26 Ogos (Bernama) -- Pelan strategik Majlis Komuniti Sosio Budaya ASEAN (ASCC) Pasca-2025 berjalan lancar dengan rundingan penting diadakan untuk mempromosikan masyarakat yang lebih inklusif, berdaya tahan dan makmur, menurut pengerusi bersama Mesyuarat Kumpulan Kerja Khas Ad Hoc keenam.

Pengerusi bersama menekankan kepentingan perundingan ini dalam memastikan pelan strategik itu kekal relevan dan responsif terhadap trend baharu dan perkembangan global semasa mesyuarat dua hari yang berakhir pada Ahad di Ibu Pejabat ASEAN di sini.

Mesyuarat itu diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerjasama Antarabangsa di Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos, Khamphou Phiasackha serta Setiausaha Perhubungan Antarabangsa Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Dr Christina Yeo Ken Yin.

Menurut kenyataan Sekretariat ASEAN, perbincangan tertumpu pada memperhalusi Pelan Strategik ASCC Pasca-2025 untuk memastikan ia sejajar dengan matlamat ASEAN yang lebih luas dan memenuhi keperluan rantau yang semakin berkembang.

Agenda mesyuarat turut menangani isu-isu merentas sektor, termasuk mengukuhkan perkongsian dan merangka strategi untuk meningkatkan impak dan kaitan ASCC pada masa hadapan.

Sekretariat memaklumkan bahawa mesyuarat seterusnya dijadual berlangsung pada September 2024 di Laos.

Sesi yang akan datang ini akan terus membangunkan pelan strategik di bawah projek ‘Supporting the Development of the ASCC Post-2025 Strategic Plan’ yang dibiayai oleh Japan-ASEAN Integration Fund 3.0, katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan