AM

CADANGAN SISTEM PENGGREDAN NUTRIEN AKAN DIBENTANGKAN KE KABINET -- DR DZULKEFLY

26/08/2024 09:37 PM

SEPANG, 26 Ogos (Bernama) -- Cadangan memperkenalkan sistem penggredan nutrien bagi produk makanan dan minuman akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya sistem itu merupakan salah satu perancangan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha mengurangkan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Ini antara empat dan lima program yang kita rancang menerusi kempen ‘Perang ke Atas Gula’...insya-Allah bentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri (Rabu) atau dalam masa terdekat.

“Kita akan laksanakan (gred minuman mengikut kandungan gula) selepas dapat keputusan (persetujuan) Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen Santan ‘Club Zero’ di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Santan Catherine Goh.

Mengenai duti eksais kepada minuman bergula (SSB) yang diperkenalkan kerajaan pada 1 Julai 2019, beliau berkata data terkini menunjukkan pengurangan pembelian sebanyak 9.25 peratus terhadap produk makanan dan minuman manis di negara ini. 

Ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan duti eksais bagi minuman manis dinaikkan daripada 40 sen kepada 50 sen seliter berkuat kuasa 2024.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Dzulkefly memuji Santan atas penganjuran kempen ‘Club Zero’, yang beliau gambarkan sebagai kempen inovatif pertama di negara ini.

“KKM menyokong kempen ini dan berharap lebih banyak syarikat akan memulakan inisiatif sebegini dalam menyokong misi KKM untuk menangani obesiti dan berat badan berlebihan dalam kalangan rakyat,” katanya.

‘Club Zero’ merupakan satu kempen yang dijalankan oleh Santan, anak syarikat katering dalam penerbangan di bawah Capital A, bagi mempromosikan pengurangan pengambilan gula dalam makanan dan minuman kepada penumpang syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia.

Kempen itu melibatkan kerjasama antara Santan dan jenama restoran tempatan iaitu Secret Recipe dan Tealive, yang menawarkan enam jenis pilihan minuman dan satu kek yang mempunyai kandungan gula rendah.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan