SUKAN

KUCHING CITY KUTIP MATA BERHARGA TEWASKAN KELANTAN 1-0

26/08/2024 11:22 PM

KUCHING, 26 Ogos -- Kuching City FC mengutip tiga mata berharga untuk kekal di kedudukan keempat Liga Super 2024/2025 dengan menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 1-0 di Stadium Negeri di sini, malam ini.

Gol tunggal perlawanan yang diadakan dalam keadaan hujan itu dijaringkan pada minit ke-36 oleh Jordan Mintah yang menanduk masuk hantaran dari Amir Amri Salleh dari sebelah kanan pintu gol Kelantan.

Kuching City menguasai sebahagian besar perlawanan itu dengan mencipta beberapa gerakan berbahaya namun ketangkasan penjaga gol KDN FC, Khatul Annuar Md Jalil telah mengecewakan pasukan tuan rumah.

Khatul Annuar bagai tidak terkesan setelah gagal menangkis tandukan Mintah yang menghasilkan gol kemenangan tuan rumah dengan terus menunjukkan kecemerlangannya menafikan beberapa lagi peluang Kuching City untuk menambah jaringan.

Kehebatan penjaga gol tuan rumah, Mohd Shahril Sa’ari juga terserlah apabila dia berjaya menggagalkan beberapa percubaan pasukan pelawat dan benteng pertahanan Kuching kekal ampuh sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil Firdaus Dahlan.

Kekalahan di Stadium Negeri malam ini merupakan yang kelapan bagi Kelantan yang mengekalkan mereka di tangga tercorot liga.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan