AM

MANGSA BANJIR DI PERAK SEDIKIT BERKURANG HARI INI

27/08/2024 03:09 PM

IPOH, 27 Ogos (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Muallim merekodkan sedikit penurunan hari ini dengan 107 mangsa daripada 24 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir di daerah Muallim hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di PPS berkenaan sejak Jumaat lepas akibat banjir lumpur yang melanda Kampung Pasir.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di kesemua 12 daerah di negeri ini berada dalam keadaan baik pada sebelah petang dan malam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak pula memaklumkan laluan A121 Jalan Slim River–Behrang Ulu di daerah Muallim masih ditutup akibat jalan utama runtuh manakala FT 004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang Gerik–Jeli dibuka satu lorong disebabkan tanah runtuh.

Kenyataan itu memaklumkan laluan di FT 1152 Felda Trolak Selatan di daerah Batang Padang juga dibuka satu lorong kepada semua kenderaan disebabkan berlaku runtuhan di bahu jalan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan